GEORGETOWN – Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri menjalankan semakan pentadbiran terhadap proses kelulusan projek Pulau Silikon.
Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang dan Jawatankuasa Perancang Negeri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan kebenaran merancang bagi projek tambakan berkenaan.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya mengabaikan dapatan Mahkamah Rayuan dengan menjadikan proses kehakiman sebagai alasan untuk mengelak tanggungjawab selepas kenyataan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bahawa projek Pulau Silikon akan diteruskan dan pihak yang tidak berpuas hati boleh membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata, projek berkenaan masih dapat diteruskan bukan kerana proses kelulusannya telah disahkan sah di sisi undang-undang sebaliknya disebabkan faktor prosedur kehakiman yang menyebabkan kebenaran merancang itu tidak dibatalkan.
Namun keadaan itu tidak mengubah dapatan undang-undang yang diputuskan secara jelas oleh Mahkamah Rayuan.
“Kerajaan negeri tidak seharusnya mengabaikan dapatan jelas Mahkamah Rayuan bahawa Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang dan Jawatankuasa Perancang Negeri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan kebenaran merancang bagi projek tambakan tersebut.
“Mahkamah Rayuan telah merujuk kepada Akta Laut Wilayah 2012 dan memutuskan bahawa laut wilayah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, sekali gus menimbulkan persoalan dari sudut undang-undang terhadap kuasa kerajaan negeri dalam meluluskan projek berkenaan.
“Oleh itu, kerajaan negeri wajar menjalankan semakan pentadbiran serta menjelaskan kepada rakyat sama ada proses kelulusan terdahulu telah mengambil kira sepenuhnya kehendak akta tersebut,” katanya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tambah beliau, kerajaan negeri juga perlu menerangkan bagaimana projek pembangunan yang melibatkan laut wilayah pada masa hadapan akan dipastikan mematuhi kehendak undang-undang dan bukannya menyerahkan tanggungjawab kepada pihak yang terjejas untuk mendapatkan keadilan melalui proses litigasi.
Beliau berkata, Lembaga Rayuan Kebebasan Maklumat Pulau Pinang sebelum ini telah memutuskan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri perlu mendedahkan kepada umum perjanjian berkaitan projek pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong dan penambakan namun sehingga kini kerajaan negeri masih menyatakan perkara itu akan dikaji sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Apabila kuasa meluluskan projek tersebut telah dipersoalkan oleh mahkamah, kerajaan negeri sepatutnya segera mendedahkan kandungan perjanjian tersebut agar rakyat dapat memahami sepenuhnya proses kelulusan serta pengaturan komersial projek berkenaan dan bukannya terus melengah-lengahkan pendedahan maklumat sehingga menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap ketelusan projek.
“Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara pada tahun 2024 dan pada tahun 2026 telah menyelesaikan penyerahan tanah bagi pembinaan depot. Justeru, alasan asal bahawa projek tambakan diperlukan untuk membiayai pembinaan LRT kini semakin tidak lagi relevan.
“Kerajaan negeri harus bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat apakah kepentingan awam yang masih membolehkan projek Pulau Silikon diteruskan, apakah asas perundangan yang digunakan serta apakah pelan jangka panjang bagi menjamin mata pencarian nelayan yang terjejas,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyokong pertubuhan alam sekitar dan persatuan nelayan untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan tafsiran muktamad berhubung pemakaian Akta Laut Wilayah 2012.
“Kita juga menggesa kerajaan negeri segera mendedahkan Perjanjian Tambakan Jelutong, melaksanakan semakan pentadbiran terhadap proses kelulusan projek serta mengemukakan pelan perlindungan jangka panjang yang jelas, konkrit dan boleh dipertanggungjawabkan bagi menjamin kebajikan nelayan,” katanya. – MalaysiaGazette















