GEORGE TOWN – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan tujuh nelayan serta dua pertubuhan alam sekitar terhadap projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) selepas memutuskan ia difailkan lewat.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azimah Omar bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan berkenaan.
Dalam keputusan yang disampaikan Hakim Wong, mahkamah memutuskan pemohon sepatutnya memfailkan permohonan semakan kehakiman sebelum 1 Disember 2023, namun hanya berbuat demikian pada 29 Disember 2023.
Bagaimanapun, mahkamah turut memutuskan bahawa Pengarah Jabatan Perancang Bandar Negeri Pulau Pinang (PlanMalaysia) dan/atau Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kebenaran perancangan bagi projek penambakan tersebut.
Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam kenyataan berkata, dapatan mahkamah itu bermaksud kebenaran perancangan bagi projek PSR diberikan tanpa kuasa yang sah, dan kerajaan negeri Pulau Pinang sedang meneruskan pembinaan pulau tanpa kelulusan perancangan yang sah.
Menurut kenyataan itu, Mahkamah Rayuan tetap menolak rayuan atas alasan prosedur, sekali gus membolehkan projek diteruskan.
Sebelum ini, rayuan berkenaan difailkan oleh tujuh nelayan iaitu Zakaria Ismail, Ibrahim Che Rose, Azhar Najamudin, Ismail Ahmad, Shahril Rosli, Omar Hassan dan Ramdzan Ishak bersama dua pertubuhan alam sekitar iaitu SAM dan Jaringan Ekologi dan Iklim (Jedi).
Mereka mencabar kebenaran perancangan yang diberikan pada 21 Ogos 2023 oleh Pengarah Jabatan Perancang Bandar Negeri Pulau Pinang kepada kerajaan negeri bagi projek yang juga dikenali sebagai Pulau Silicon.
Antara alasan yang dikemukakan ialah projek itu didakwa menyebabkan kerosakan alam sekitar tidak boleh dipulihkan serta menjejaskan pendapatan komuniti nelayan tempatan.
Pemohon turut mendakwa proses kelulusan melanggar peruntukan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, termasuk kegagalan mematuhi undang-undang perancangan, kesilapan rujukan projek, ketiadaan penilaian alam sekitar baharu dan kegagalan mempertimbangkan kesan sosioekonomi.
Responden dalam kes itu ialah Pengarah PlanMalaysia Pulau Pinang, Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri, SRS Consortium Sdn Bhd dan Silicon Island Development Sdn Bhd.
Kerajaan negeri sebelum ini berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman itu lewat difailkan kerana pemohon telah mengetahui mengenai kebenaran perancangan pada 1 September 2023 dan sepatutnya memulakan tindakan sebelum 1 Disember tahun sama. – MalaysiaGazette
















