BUKIT MERTAJAM – Ujian demi ujian menimpa kehidupan Nur Fauzana Aziz apabila bukan sahaja suaminya berdepan kanser dan diserang strok, malah anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun turut disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.
Menurut Nur Fauzana, 43, sebelum ini dia hanya menguruskan rumah tangga namun kini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bekerja sebagai jurujual demi menyara kehidupan mereka.
Katanya, keadaan itu berlaku selepas suaminya, Arman Che Ani, 42, tidak lagi mampu bekerja apabila kanser nasofaring yang dihidapinya merebak ke paru-paru dan otak.
“Suami saya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori. Selepas disahkan menghidap kanser, dia turut diserang strok dan pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2022.
“Kini dia hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda serta memerlukan bantuan untuk diuruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Fauzana berkata, anak bongsunya daripada tiga beradik, Nur Ayra Dayana, 10, yang menghidap penyakit jantung kongenital sejak lahir kini mengalami komplikasi kesihatan meskipun pernah menjalani pembedahan ketika masih bayi.
Nur Ayra disahkan menghidap Truncus Arteriosus Type 1 dan Kecacatan Septum Ventrikel (VSD), iaitu penyakit jantung kongenital yang jarang berlaku.

“Dia pernah menjalani pembedahan jantung ketika masih bayi dan membesar seperti kanak-kanak lain sebelum mengadu sakit dada sejak April.
“Ketika pemeriksaan susulan, doktor mendapati conduit jantung (tiub buatan) yang dipasang sejak bayi telah menjadi terlalu sempit akibat diselaputi tisu badan selain saiznya tidak lagi sesuai dengan pertumbuhan fizikal anak saya.
“Doktor menasihati supaya pembedahan dibuat segera bagi mengeluarkan conduit lama dan menggantikannya dengan baharu yang lebih besar,” katanya.
Tambahnya, harapan untuk melihat anaknya kembali sihat kini bergantung kepada kemampuan mengumpulkan dana RM105,000 bagi menampung kos pembedahan yang perlu dilakukan segera.
“Sebagai ibu, saya sanggup lakukan apa sahaja demi anak tetapi jumlah itu terlalu besar untuk kami. Saya merayu kepada orang ramai agar sudi membantu kerana pembedahan anak saya dijadualkan hari ini. Setiap sumbangan amat bermakna buat kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya melancarkan kutipan dana bagi membantu menampung kos pembedahan Nur Ayra Dayana yang berjumlah RM105,000.
Katanya, keluarga berkenaan hanya mampu menyediakan RM6,000 daripada keseluruhan kos rawatan manakala baki selebihnya akan diusahakan menerusi sumbangan orang ramai.
“Anak sulung pasangan ini yang berusia 18 tahun baru menamatkan persekolahan dan kini mengambil alih tanggungjawab menjaga bapanya manakala seorang lagi anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun masih bersekolah.
“Justeru orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3193433435 (Kod SWIFT: PBBEMYKL).
“Selain itu, sumbangan turut boleh disalurkan menerusi laman sesawang One Hope Charity & Welfare atau aplikasi mudah alih badan amal berkenaan,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette















