GEORGE TOWN – Akademi Boria Pulau Pinang menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk mengetuai pencalonan Seni Boria sebagai Warisan Tidak Ketara (WTK) 2026 sebagai satu pengiktirafan besar terhadap usaha memelihara warisan budaya negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Jibran Khalil Sindamadar berkata, akademi beriltizam melaksanakan amanah itu dengan komitmen penuh menerusi kerjasama rapat bersama kerajaan negeri bagi memastikan proses pencalonan dapat disempurnakan mengikut keperluan yang ditetapkan.
“Kami merakamkan penghargaan kepada Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui proses pencalonan berkenaan.
“Kami beriltizam penuh untuk melaksanakan amanah ini dan sedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri melalui pejabat Hon Wai.
“Proses ini melibatkan penyelidikan, pendokumentasian serta libat urus komuniti bagi memastikan dossier pencalonan WTK yang lengkap dan kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah beliau, mandat itu turut mencerminkan keyakinan terhadap peranan Akademi Boria Pulau Pinang dalam memelihara serta memperkasakan seni boria yang menjadi antara warisan budaya negeri berusia lebih satu abad.
“Akademi yakin sinergi strategik bersama kerajaan negeri mampu memastikan kejayaan pencalonan itu, sekali gus menjadi langkah penting dalam usaha mengangkat martabat seni boria ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















