Seramai 155 PATI ditahan dalam operasi penguatkuasaan berskala besar di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seramai 155 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan berskala besar di Pasar Borong Pandan, di sini semalam.

Dalam ‘Ops Bersama’ pada pukul 10 pagi itu, pihak berkuasa turut menahan dua warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis di kawasan berkenaan.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bersepadu yang dijalankan secara serentak itu menyasarkan beberapa premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan oleh warga asing hasil risikan dan pemantauan berterusan.

“Tindakan ini bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta mengesan sebarang bentuk pelanggaran peraturan.

“Semakan turut dilakukan ke atas dokumen perjalanan, pas dan permit yang dimiliki oleh individu yang berada di lokasi bagi memastikan mereka mematuhi peruntukan undang-undang Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Operasi berskala besar tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Mohd Rusdi berkata, kesemua warga asing yang ditahan itu berusia antara 10 hingga 49 tahun dan dipercayai bekerja serta menjadi pelanggan di premis-premis terbabit.

Menurut beliau, tangkapan terbesar melibatkan warga Indonesia iaitu seramai 56 lelaki dan enam wanita, diikuti warga Myanmar dengan 39 lelaki, lima wanita serta seorang kanak-kanak lelaki.

“Turut ditahan ialah 35 lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki warga Pakistan, selain dua warga Vietnam (masing-masing seorang lelaki dan wanita) serta seorang lelaki warga China.

“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Tambahnya, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, dalam operasi sama, sebanyak lapan keping Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.

“JIM Negeri Johor akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan secara berterusan menerusi operasi bersepadu dan risikan di lokasi strategik, serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast