KUANTAN – Sultan Pahang menegaskan sebarang cadangan mewujudkan surau atau musolla yang mendirikan solat Jumaat di pusat beli belah di negeri ini hendaklah tertakluk sepenuhnya kepada hukum syarak dan kuasa pentadbiran agama Islam negeri.
Menerusi titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, baginda menegaskan, bahawa Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) selaku pihak berkuasa agama yang mewakili baginda mempunyai bidang kuasa dalam hal ehwal masjid dan surau di negeri ini.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, Jabatan Mufti Negeri Pahang bersama MUIP menjunjung titah Al-Sultan Abdullah untuk sentiasa memartabatkan institusi masjid dan surau di Negeri Pahang.
“Baginda turut memperkenankan penegasan Jabatan Mufti bahawa pelaksanaan solat Jumaat hendaklah memenuhi syarat sah menurut Mazhab Syafie termasuk didirikan dalam waktu Zuhur, didahului dua khutbah serta dihadiri sekurang-kurangnya 40 lelaki mukallaf yang bermastautin.
“Selain itu, solat Jumaat perlu dilaksanakan di tempat yang dikhususkan dan tidak boleh berlaku pertindihan dengan lokasi solat Jumaat berhampiran kecuali dalam keadaan yang benar-benar mendesak serta mendapat keputusan mufti sebelum dipersembahkan untuk perkenan baginda,” katanya.
Dr. Asmadi berkata, baginda juga mengambil maklum perancangan pembangunan masjid di Pahang telah mengambil kira keperluan masyarakat, termasuk kewujudan masjid dan surau kebenaran Jumaat di pusat tumpuan awam, agar institusi sedia ada terus diimarahkan dan menjadi nadi penyatuan ummah.
Tambahnya, baginda bertitah bahawa MUIP adalah pihak berkuasa yang mewakili Sultan Pahang sebagai penguasa berkaitan masjid atau surau atau musolla yang terletak di bawah senarai Negeri selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Baginda mengambil maklum bahawa susun atur masjid di Negeri Pahang telah mengambil kira kewujudan masjid dalam pusat kemasyarakatan, dan masjid atau surau kebenaran Jumaat (SKJ) tersebut lebih sesuai diimarahkan, seperti Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Bandar Kuantan, Masjid Tepian Putra di kawasan Malay Town dan Kuantan City Mall, dan Masjid Bandaraya (yang akan dibuka) dan Masjid Al-Shafie di Kota SAS,” katanya menerusi kenyataan.
Untuk rekod terdapat sebanyak 702 masjid dan surau kebenaran Jumaat di negeri ini.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengalu-alukan negeri di seluruh negara untuk melaksanakan inisiatif solat Jumaat di pusat beli-belah, susulan sambutan positif terhadap pelaksanaannya di beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.
Zulkifli berkata, pelaksanaan itu ketika ini dimulakan di Wilayah Persekutuan menerusi kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa kedua-dua agensi berkenaan.
Bagaimanapun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Semalam, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Selangor dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam di negeri ini. – MalaysiaGazette















