PASIR GUDANG – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat 1.21 juta tenaga kerja dalam sektor ekonomi gig, dengan sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai latihan kemahiran yang mencukupi.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri itu mencadangkan supaya pekerja dalam sektor ekonomi gig diberi peluang mengikuti program peningkatan kemahiran dan latihan semula menerusi kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Cadangan itu telah dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi membolehkan golongan berkenaan mengikuti program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).
“HRD Corp mempunyai peruntukan kira-kira RM3 bilion untuk mengadakan kursus-kursus upskilling dan reskilling ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Apa Khabar Siswa? di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pihaknya akan menyemak semula perkara tersebut bersama-sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan
Ia bertujuan untuk mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan supaya dana yang disumbangkan oleh syarikat-syarikat dapat turut dimanfaatkan oleh mereka yang terlibat dalam ekonomi gig.
“Langkah ini membolehkan kita mempunyai tenaga kerja yang lebih berkemahiran dan kita tidak mahu mereka menamatkan kerjaya hanya sebagai pemandu dalam sektor gig ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette















