KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini mengenakan denda RM11,000 terhadap seorang penulis blog selepas mendapatinya bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO, empat tahun lalu.
Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian terhadap Jufazli Shi Ahmad, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui tahap keraguan munasabah terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 11 bulan jika gagal membayarnya. Dia menjelaskan denda tersebut.
Pada akhir prosiding, Izralizam mengingatkan OKS supaya tidak mengulangi kesalahan yang dilakukannya.
“Sekiranya berlaku lagi kesalahan sama hukuman yang dikenakan pasti akan lebih berat termasuk hukuman pemenjaraan,” ujar beliau.
Mengikut pertuduhan, Jufazli didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan memuat naik video itu ke akaun TikTok@King Maker pukul 3 petang, 23 Jun 2022.
Pautan video jelik itu dibaca dan dilihat pada 3 petang keesokannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Ketika membacakan keputusan itu, Izralizam menyatakan, mahkamah menerima laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang mengesahkan individu yang mengendalikan akaun TikTok@King Maker adalah OKS.
Menurut beliau, laporan CyberSecurity Malaysia berkaitan analisis pemilikan akaun dan analisis wajah mengesahkan OKS sebagai pembuat video tersebut.
Ujarnya, perkara tersebut bertentangan dengan keterangan OKS yang menyatakan dia tiada kaitan dengan lelaki dalam video berkenaan.
“OKS menyatakan lelaki dalam video tersebut bukan dirinya kerana video itu memaparkan wajah yang berlainan berbanding dirinya (OKS) yang mempunyai tahi lalat atas hidung sebelah kanan,” ujarnya.
Izralizam seterusnya menyatakan, OKS tidak pernah membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dalam video (TikTok@King Maker).
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa perbuatan yang dilakukan oleh OKS adalah kesalahan serius.
Bagaimanapun, peguam Ramesh N.P. Chandran yang mewakili Jufazli memohon hukuman denda terhadap anak guamnyanya dengan alasan dia menanggung ibu bapanya serta tidak mempunyai pendapatan tetap. – MalaysiaGazette















