Pengundi tertua DUN Bukit Naning, Abu Yasmin Kasbi, 95 hadir menunaikan tanggungjawab pada Hari Pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di SK Bukit Naning, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2026.

MUAR – Meskipun sudah mencecah usia 95 tahun, pengundi paling tua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning tetap bersemangat menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini.

Abu Yasmin Kasbi juga menjadi antara pengundi yang tiba awal di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naning di sini, iaitu kira-kira pukul 9 pagi.

Menurutnya yang merupakan anak jati Kampung Air Itam di sini, dia tidak pernah gagal mengundi sama ada pada pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU) sejak proses demokrasi itu bermula di negara ini.

Malah, katanya, dia juga sentiasa mengingatkan ahli keluarganya terutama anak-anaknya supaya tidak sesekali mengabaikan peranan dan tanggungjawab sebagai rakyat dalam menentukan masa depan negeri dan negara.

“Memang setiap kali mengundi saya akan pastikan semua ahli keluarga saya keluar mengundi, tak kira di mana mereka berada mesti balik mengundi,” katanya yang hadir ditemani ahli keluarganya.

Sementara itu, seorang ahli keluarganya memberitahu, usia Abu Yasmin mungkin melebihi 95 tahun memandangkan pendaftaran kelahirannya dibuat hanya beberapa tahun selepas kelahirannya.

“Ikutkan dia lebih tua, biasalah waktu dulu proses pendaftaran kelahiran agak susah tak seperti sekarang,” katanya yang turut memaklumkan Abu Yasmin masih sihat serta bertenaga meskipun pendengarannya semakin merosot.

Sementara itu, situasi kurang menyenangkan turut berlaku di pusat mengundi SK Bukit Naning pagi ini apabila seorang warga emas mendapati tempat mengundinya sudah ditukarkan di kawasan Pagoh.

Zainab Mohamad

Zainab Mohamad, 68, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan perkara itu ketika membuat semakan di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan sekolah itu merupakan tempat mengundinya sejak awal.

“Saya tak pernah tukar alamat dan di sinilah tempat mengundi saya sejak sekian lama. Tetapi hari ini saya dimaklumkan saya perlu mengundi di Pagoh yang jaraknya lebih 30 minit dari sini.

“Nampaknya saya tak akan mengundi hari ini, rasa sedih dan sia-sia sebab saya sudah bersedia sejak awal pagi untuk mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, proses pengundian yang dibuka lancar bermula pukul 8 pagi sedikit terganggu berikutan hujan lebat lebih satu jam bermula pukul 10 pagi tadi.

Bagaimanapun, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat berjaya mengawal keadaan dan sudah bersiap sedia termasuk menyediakan payung dan membantu pengundi khususnya warga emas menjalankan tanggungjawab masing-masing. – MalaysiaGazette

Pengundi hadir dalam keadaan hujan lebat bagi menunaikan tanggungjawab pada Hari Pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di SK Bukit Naning, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2026.

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast