Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada media selepas majlis amanat bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Worldskills Shanghai 2026 di Pacific Ballroom C, Seri Pacific Hotel. Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 13 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Nga Kor Ming yang mahu meletakkan jawatan sekiranya UMNO mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan tidak seharusnya diperbesar-besarkan.

Namun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan, kenyataan itu tidak wajar diungkapkan oleh mana-mana anggota Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan memandangkan mereka kini berada dalam kerajaan yang sama.

Lagipun, katanya, mereka sentiasa bekerjasama dalam Kabinet dan hubungan sesama anggota Jemaah Menteri kekal profesional.

“BN menang, dia tak jadi (letak jawatan). Saya tak ada nak nasihatkan. Tapi kenyataan itu biar berpatutan.

“Sebab setiap minggu kita jumpa dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Kalau dahulu kita dalam pembangkang, mungkin kenyataan itu boleh dianggap sebagai kenyataan yang seharusnya.

“Tapi apabila kita bersama dalam kerajaan, tak perlulah perkara-perkara begitu. Saya akan jumpa dia, dia kawan saya. Sangat baik. Kita profesional,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis amanat bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus kekal sehingga tamat penggal seperti yang telah dipersetujui semua parti dalam gabungan itu.

Menurut beliau, walaupun pelbagai persepsi dibangkitkan berhubung hubungan antara parti dalam kerajaan, pentadbiran ketika ini berjalan dalam suasana yang baik, kondusif dan profesional.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sebelum ini membuat kenyataan akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya BN memenangi PRN Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Kor Ming turut mendakwa DAP tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan “garis merah” parti berkenaan.

Ekoran kenyataan itu, Kor Ming digesa melepaskan jawatannya susulan kemenangan besar BN pada PRN Johor, Sabtu lalu.

Keputusan PRN Johor menyaksikan BN menang 48 daripada 56 yang ditandingi. – MalaysiaGazette

Kor Ming maksudkan jika Najib lepas dia letak jawatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast