PUTRAJAYA – Tangguhkan pelaksanaan Inisiatif Cermat Madani selagi isu berkaitan tadbir urus, persaingan industri, keselamatan data dan perlindungan pengguna diperjelaskan secara menyeluruh.
Presiden Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM), Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya melalui pendekatan digital namun pelaksanaan sesuatu dasar awam perlu dilaksanakan secara telus, adil dan inklusif agar tidak menimbulkan persepsi negatif dalam Kalanga pemain industri.
“Kita bukan menentang keputusan kerajaan. Kita cuma mahu memberikan input mengenai ketidakseimbangan yang mungkin berlaku sekiranya pelaksanaan ini diteruskan tanpa pemantauan dan tadbir urus yang jelas,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Khairi Anuar, antara kebimbangan utama PERWATAM ialah pelaksanaan pembaharuan insurans dan takaful menerusi aplikasi MyJPJ yang disifatkan berpotensi mewujudkan persepsi layanan eksklusif kepada syarikat tertentu sekali gus menjejaskan persaingan sihat dalam industri.
Menurutnya, pembaharuan polisi insurans dan takaful bukan sekadar transaksi digital kerana pengguna masih memerlukan khidmat nasihat profesional, bantuan selepas jualan, pengurusan tuntutan, pindaan polisi serta sokongan ketika berlaku kemalangan atau kecemasan.
“Produk insurans adalah produk nasihat (advisory product). Ia bukan boleh dibeli secara membuta tuli tanpa panduan ejen. Nak urus cukai jalan itu kerja JPJ tetapi urusan insurans biarlah dikendalikan oleh ejen yang bertauliah,” katanya.
Mengulas mengenai kesan terhadap pendapatan ejen, Khairi Anuar berkata, pelaksanaan Cermat Madani dijangka memberi impak besar kerana promosi melalui platform kerajaan serta tawaran rebat tambahan sebanyak 10 peratus akan mengubah corak pasaran.
“Kalau ditanya mengenai pendapatan, memang pasti terjejas. Bila ada promosi secara menyeluruh dan diskaun tambahan kepada pengguna, ia memberi kesan langsung kepada sumber pendapatan ejen yang selama ini bergantung kepada komisen,” katanya.
Beliau berkata, walaupun belum menerima aduan rasmi daripada pengguna berkaitan sistem itu, PERWATAM berpandangan masalah akan timbul apabila pelanggan memerlukan bantuan selepas pembelian terutama ketika membuat tuntutan insurans atau berdepan kecemasan di jalan raya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PERWATAM, Khidir Zulkifli pula berkata, kenyataan penafian (disclaimer) yang dipaparkan dalam platform MyJPJ menimbulkan kekeliruan kerana pengguna mungkin tidak mengetahui pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku pertikaian atau masalah berkaitan transaksi.
“Sebagai platform rasmi kerajaan, pengguna sewajarnya mempunyai saluran penyelesaian yang jelas. Apabila berlaku masalah, mereka akan merujuk kepada JPJ kerana urusan dibuat melalui platform kerajaan,” katanya.
Bendahari Agung PERWATAM, Muhammad Syameem Ahmad pula berkata, pihaknya turut membangkitkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan data memandangkan JPJ mengendalikan pangkalan data pemilik kenderaan terbesar di negara ini.
Tambahnya, sebarang kerjasama dengan pihak swasta yang melibatkan perkongsian atau integrasi data perlu disertakan jaminan keselamatan siber, kawalan akses, audit berkala dan mekanisme pemantauan yang jelas bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat pengguna.
Dalam pada itu, Khairi Anuar memaklumkan PERWATAM telah memohon satu pertemuan rasmi dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi membincangkan isu yang dibangkitkan serta mendapatkan penjelasan mengenai hala tuju pelaksanaan Cermat Madani.
PERWATAM mempunyai lebih 900 ahli turut mewakili suara lebih 15,000 wakil takaful am dan ejen insurans di seluruh negara. – MalaysiaGazette















