KUALA LUMPUR – Perpaduan yang selama ini menjadi mantera dalam kalangan orang politik dilihat mempunyai definisi terhad kepada kehendak nafsu politik dan bukan sesuatu yang universal untuk dipertahankan oleh semua pihak, kata Timbalan Presiden Parti Amanah.
Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, pencapaian kerajaan Negeri Sembilan membawa kemakmuran dan kebaikan kepada rakyat negeri itu juga ‘dirompak’ dengan penarikan sokongan 14 orang Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO sehingga ‘memaksa’ pembubaran DUN berlaku.
Katanya, perpaduan terus menjadi semakin rumit apabila rakan BN/Umno yang membentuk kerajaan perpaduan bersama kini bersalaman dengan pembangkang Pas/PN untuk menjatuhkan kerajaan yang dibentuk bersama sebelumnya.
“‘Orang politik bernafsu besar’ sekali lagi telah mengecewakan para pengundi yang saya yakin mahukan perpaduan dan kestabilan.
“Pengundi hanya perlu membawa penilaian yang wajar dan rasional ke pusat-pusat pengundian untuk menentukan siapakah yang bernafsu besar dan siapakah sebenarnya berusaha mencapai kestabilan dan kebaikan untuk rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Katanya, beliau yakin hayat perpaduan perlu diselamatkan daripada terus diasak oleh nafsu kuasa yang mahu melihat kepentingannya dipelihara dari kepentingan rakyat ramai.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi pada Pilihan Raya Negeri Sembilan untuk memilih kestabilan dan perpaduan dan berpaling daripada mereka yang hanya mahu memuaskan nafsu kuasa dengan menggadaikan kestabilan yang dinikmati. -MalaysiaGazette
















