KUALA LUMPUR – Tidak ada parti politik di Malaysia yang menjadi ancaman kepada mana-mana kaum, tegas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda.
Menurut beliau, DAP bukan ancaman kepada orang Melayu sebagaimana Pas juga bukan ancaman kepada kaum Cina atau India.
Menurut beliau, jika benar tuduhan bahawa sesebuah parti mengancam kaum tertentu, kerajaan sudah lama akan mengambil tindakan mengharamkan parti itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak berhenti memainkan isu perkauman untuk mendapat sokongan, memandangkan politik identiti hanya merencatkan perpaduan dan pembangunan negara.
“Waktu PAS PN atau BN berkuasa, mereka sendiri tidak mengharamkan DAP.
“Parti politik wujud untuk mendapat kuasa. Dengan kuasa mereka mengurus negara. Jika ada salah laku atau pelanggaran undang-undang, telah wujud pelbagai agensi penguat kuasa yang akan menghalangnya serta pelbagai elemen semak imbang yang akan membetulkannya,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, menggunakan sentimen Islamofobia bagi menimbulkan kebimbangan terhadap perkembangan dan pengaruh Pas dalam landskap politik negara.
Beliau berkata istilah ‘gelombang hijau’ mula digunakan selepas Pas muncul sebagai parti dengan kerusi Parlimen terbanyak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selain menguasai empat negeri dan menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa kawasan.
Sementara itu, Mohd Hasbie berkata, politik menakut-nakutkan rakyat dengan modal perkauman sempit sepatutnya tidak lagi mempunyai tempat dalam negara ini.
“Nilailah sesebuah parti dengan kompetensi dan integriti mereka. Hampir semua parti telah diberi peluang berkuasa.
“Pilihlah mana satu yang terbukti paling baik dan paling layak,” katanya. – MalaysiaGazette
















