KUALA LUMPUR – Pengurusan tanah perkuburan umat Islam merupakan fardu kifayah yang tidak boleh dikomersialkan atau dilepaskan kepada pihak yang tidak mempunyai keabsahan syarak untuk mengendalikannya.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menjelaskan, penstrukturan semula dan perjanjian pertukaran tanah yang melibatkan pemajuan infrastruktur oleh pihak ketiga hanya suatu proses perantaraan yang pada akhirnya bermatlamat memberi kemudahan terbaik kepada pengurusan jenazah umat Islam.
Menurut JMWP, pemerhatiannya mendapati wujud perbincangan dalam pelbagai platform media sosial berkenaan isu pengurusan tanah perkuburan umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Ujarnya, terdapat kerisauan dan kebimbangan umum apabila timbul dakwaan bahawa pengurusan tanah perkuburan umat Islam akan diserahkan kepada pihak swasta yang secara langsung telah menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya berhubung implikasi kos dan pengurusan silang agama.
Bagaimanapun, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah memberikan pencerahan mengenai situasi sebenar yang berlaku bahawa ia bukanlah suatu bentuk penyerahan kuasa urus tadbir tanah perkuburan kepada entiti swasta.
Sebaliknya ia merupakan Kaedah Pertukaran Tanah antara Kerajaan Persekutuan dan syarikat berkenaan yang mana syarikat terbabit diwajibkan menyediakan kelengkapan infrastruktur asas termasuk jalan pintas keluar-masuk dan penyediaan tapak perkuburan itu sendiri, sebelum ia diserahkan kembali kepada pihak kerajaan.
Menurut JMWP, pengurusan tanah perkuburan di Wilayah Persekutuan terbahagi kepada dua iaitu tanah wakaf dan tanah perkuburan awam.
“Bagi kategori tanah wakaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertindak sebagai mutawalli (pemegang amanah) tunggal yang memelihara kesucian hak milik Allah SWT agar tidak ditukar ganti atau dieksploitasi sewenang-wenangnya.
“Tanah perkuburan awam pula merujuk kepada tanah rizab kerajaan yang diwartakan dan diurus selia sepenuhnya oleh JAWI bersandarkan kapasiti Ulil Amri dalam menjaga maslahah ‘ammah’ (kepentingan awam).
“Hal ini berbeza dengan pengurusan tanah perkuburan bukan Islam yang bersifat komersial dan terikat dengan peraturan-peraturan tertentu seperti garis panduan khusus yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Tanah dan Galian Persekutuan,” ujarnya.
JMWP menyatakan demikian menerusi ruangan Tinta Mufti Bil. 119/2026: Memelihara Kesucian Tanah Perkuburan Islam hari ini.
Jabatan itu memberi penjelasan ekoran wujud perbincangan di pelbagai platform media sosial berkenaan isu pengurusan tanah perkuburan umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Laporan media pada 9 Julai lalu menyebut, urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan tidak akan diswastakan menerusi Projek Pembangunan Tanah Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan di Lot PT3458, Mukim Hulu Semenyih, Hulu Langat, Selangor.
Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata, hartanah yang terlibat dalam projek itu masih kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Awam seluas 90.12 hektar (222.68 ekar).
Jabatan itu selanjutnya menyatakan, dalam konteks pengurusan hartanah dan wakaf (termasuk tapak perkuburan), fuqaha kontemporari seperti Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili turut membincangkan fleksibiliti instrumen muamalat seperti istibdal (pertukaran) bagi mengekalkan atau meningkatkan manfaat kemaslahatan awam.
Menurut JMWP, pertukaran hak milik tanah oleh Ulil Amri perlu dilakukan secara terancang bagi memastikan tapak perkuburan mempunyai kemudahan jalan yang baik, serta tapak yang sistematik sebelum diselia sepenuhnya oleh pihak berkuasa agama.
Ujarnya, ia sangat menepati teras maqasid syariah dalam kategori Hifz al-Din (memelihara agama) dan pelaksanaan fardu kifayah itu sendiri.
Oleh yang demikian, pihak JMWP menyeru masyarakat mengamalkan prinsip tabayyun dan merujuk kepada institusi agama yang berautoriti sebelum menyebarkan sebarang berita. – MalaysiaGazette
















