Mohammad Aswad Ithnain

BATU PAHAT – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain kecewa dan terkilan dengan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang memfitnah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Datuk Mohd Fared Mohd Khalid.

Aswad menyifatkan tuduhan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu sebagai melulu dan Puad sepatutnya membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Sebagai seorang pemimpin anak muda di negeri Johor, Pemuda UMNO Johor melahirkan rasa kecewa dan jelik apabila mengulas isu melibatkan Mohd Fared itu.

“Sebagai seorang tokoh politik yang berpengalaman dan berpendidikan tinggi, beliau seharusnya menyemak serta meneliti fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan di media sosial,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, dalam era penyebaran maklumat yang begitu pantas, setiap kenyataan pemimpin mempunyai implikasi besar terhadap persepsi masyarakat.

Katanya, jika sesuatu dakwaan masih belum dipastikan kesahihannya, lebih wajar untuk mendapatkan penjelasan pihak yang terlibat dan bukan terus mengulas sehingga berpotensi menguatkan persepsi tidak tepat.

“Pengalaman luas dalam dunia politik dan akademik sepatutnya menjadi benteng kepada budaya membuat andaian atau mengulas berdasarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.

Menurut Aswad, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam politik, namun perlu diasaskan kepada fakta, bukan persepsi atau dakwaan yang belum terbukti.

“Saya menyeru agar beliau mengambil kesempatan untuk bermuhasabah, lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan serta mengutamakan kebenaran dan keadilan dalam setiap pandangan yang disampaikan.

Puad menerusi hantaran dalam Facebook miliknya semalam membuat dakwaan terhadap Mohd Fared berhubung isu tatakelola, kronisme serta siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) pada 26 Mac lalu.

Dalam kenyataan itu, Puad berharap tidak ada cover-up yang cuba menutup kebenaran dan netizen amat negatif di atas perlantikan Mohd Fared sebagai Exco kerana ada yang mempertikaikan apakah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi cukup teliti dalam memilih anggota Exco Kerajaan Johor.

“Difahamkan banyak keputusan dibuat tanpa persetujuan Lembaga Pengarah KUIJSI. Sebab itu kronisme dan favaouritism berleluasa. 5hb Jun 2026 mesyuarat khas bersama KPT telah diadakan untuk meleraikan masalah. Tetapi semua resolusi tidak dibawa ke Lembaga Pengarah untuk tindakan susulan,” dakwa Puad.

Mohd Fared dalam kenyataan balasnya malam tadi menafikan tuduhan tersebut serta menggesa Puad memohon maaf secara terbuka dan menurunkan kenyataan kenyataan itu dalam Facebook miliknya.

Tegas Mohd Fared, jika tidak berbuat demikian tindakan saman akan dikenakan terhadap Puad.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast