Sabariah (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengelak membayar duti kastam.

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah sebuah syarikat import dan eksport mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengelak daripada membayar duti kastam lebih RM150,000, enam tahun lalu.

Sabariah Ibrahim, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar terbabit dalam pengelakan fraud satu duti kastam bernilai RM150,319.50 di Cawangan Import Bangunan Sultan Iskandar di sini, pukul 3.41 petang, 2 Januari 2020.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam dibaca bersama Seksyen 140 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai duti iaitu RM1,503,195 hingga nilai maksimum 20 kali ganda duti iaitu RM3,006,390 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

Di mahkamah sama, Syarikat Perkhidmatan Import dan Eksport Toon Sdn Bhd turut dihadapkan dengan pertuduhan sama dan Sabariah sebagai pengarah mewakili syarikat itu turut mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Pendakwaan terhadap syarikat itu dibuat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta yang sama dengan hukuman denda dan penjara yang sama, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan tiada jaminan dikenakan.

Pendakwaan kedua-dua kes dijalankan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Amiera Wahyunie Zainordin dan Atheerah Azizan, manakala tertuduh dan syarikat diwakili peguam Abd Rahim Ali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast