KUALA LUMPUR – MBSB Berhad (MBSB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), melupuskan keseluruhan pegangan ekuitinya dalam MIDF Amanah Asset Management Berhad (MAAM) kepada Tortoise Works Sdn. Bhd. (TW).
MBSB dalam satu kenyataan memaklumkan, pelupusan itu adalah sebahagian daripada strategi transformasi kumpulan bagi memperkukuh tumpuan terhadap perniagaan teras perbankan dan dijangka tidak memberi kesan kewangan yang ketara kepada kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, langkah tersebut membolehkan MBSB memberi fokus yang lebih jelas kepada operasi perbankan teras.
“Untuk memberi tumpuan yang lebih jelas kepada perbankan teras, kami perlu membuat keputusan yang tepat mengenai perniagaan di luar bidang tersebut.
“MAAM telah membina nama dan reputasi yang kukuh sepanjang 34 tahun. Ketika MAAM melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya, kami mendoakan agar mereka akan terus maju dan berjaya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Tortoise Works, Shan Kamahl Mohammad berkata, syarikat komited untuk meneruskan legasi MAAM dengan memberi penekanan kepada pertumbuhan mampan, tadbir urus yang berdisiplin serta prestasi pelaburan yang kukuh.
Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan warga kerja, pelanggan, pihak berkuasa kawal selia dan rakan perniagaan MAAM bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.
“Kami turut merakamkan penghargaan kepada MIDF dan MBSB atas profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang proses ini serta kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk meneruskan tanggungjawab mengemudi MAAM berasaskan asas kukuh yang telah dibina selama 34 tahun,” katanya.
Menurut MBSB, pelupusan tersebut telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 9 Julai lalu dan transaksi berkenaan disempurnakan hari ini. – MalaysiaGazette
















