Papan tanda Bandar Diraja Seri Menanti di Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JULAI 2026.

SERI MENANTI – Berbaki lima hari menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti dilihat lebih mengutamakan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kebajikan rakyat dalam membuat pilihan.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa kawasan sekitar Seri Menanti mendapati, rata-rata penduduk berpendapat kebanyakan isu asas di kawasan itu telah diberikan perhatian, manakala keutamaan selepas ini adalah memastikan pembangunan yang dirancang dapat diteruskan demi manfaat masyarakat.

Selain mengharapkan wakil rakyat terus mendekati penduduk tanpa mengira latar belakang, mereka juga mahu aspek ekonomi, peluang pekerjaan, pelancongan serta kemudahan awam terus diperkasakan seiring dengan pembangunan kawasan.

Muhammad Azwan Marukum

Bagi peniaga, Muhammad Azwan Marukum, yang merupakan anak jati Terachi berkata,  beliau melihat kebanyakan isu asas di Seri Menanti telah banyak diselesaikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut pengundi berusia lingkungan 40-an itu, fokus selepas ini seharusnya diberikan kepada usaha meneruskan agenda kebajikan dan pembangunan supaya manfaatnya terus dinikmati penduduk.

“Alhamdulillah, banyak perkara sudah dilaksanakan sebelum ini dan saya harap usaha itu diteruskan. Kebajikan rakyat jangan terhenti, begitu juga pembangunan yang sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata, Seri Menanti mempunyai kelebihan sebagai Bandar Diraja yang kaya dengan warisan sejarah serta lokasi pelancongan alam semula jadi seperti Istana Lama Seri Menanti, Muzium Diraja, Taman Rekreasi Ulu Bendul dan Gunung Angsi.

Katanya, potensi itu wajar terus dibangunkan kerana bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat melalui sektor ekopelancongan dan perniagaan kecil.

Boo Yok Hong

Sementara itu, Boo Yok Hong, 64, yang menetap di Seri Menanti sejak lebih 40 tahun lalu pula berharap wakil rakyat yang dipilih selepas pilihan raya tidak melupakan rakyat dan terus mendengar keperluan masyarakat.

Menurut pengundi sejak 1987 itu, keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di Seri Menanti menjadi kekuatan kawasan tersebut dan perlu terus dipelihara.

“Di sini kami hidup seperti biasa. Melayu, Cina dan India saling mengenali antara satu sama lain. Kami boleh duduk berbual bersama tanpa mengira kaum dan saya harap suasana ini terus berkekalan,” katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat tidak semestinya mampu memenuhi setiap permintaan penduduk, namun apa yang lebih penting ialah kesungguhan untuk turun padang, mendengar masalah rakyat dan berusaha mencari penyelesaian.

Alias Sulaiman

Seorang pesara, Alias Sulaiman, 74, pula berpandangan, Seri Menanti memerlukan seorang wakil rakyat yang memahami kehidupan masyarakat kampung serta mampu merancang pembangunan jangka panjang.

Antara perkara yang masih memerlukan perhatian ialah kesesakan lalu lintas di laluan utama Seremban-Kuala Pilah yang sering berlaku terutama pada hujung minggu dan musim cuti sehingga menyukarkan penduduk untuk melintas jalan.

Pintu gerbang jalan ke Istana Seri Menanti di Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JULAI 2026.

Beliau berpandangan, kebanyakan kemudahan asas termasuk aspek kebajikan dan utiliti berada dalam keadaan memuaskan, dengan masalah kecil seperti paip pecah atau kerosakan utiliti  dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

“Yang penting sekarang ialah perancangan ekonomi perlu diteruskan supaya lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan, terutama untuk anak-anak muda yang mempunyai kelulusan tetapi mahu pekerjaan yang setimpal dengan kemahiran mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast