KUALA PILAH – Memasuki hari kesembilan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah terus memperhebat gerak kerja turun padang.
Kali ini dengan memberi tumpuan kepada pendekatan rumah ke rumah dan ceramah kelompok bagi mendekati seramai mungkin pengundi.
Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, pendekatan itu bukan sahaja membolehkan beliau bertemu secara langsung dengan penduduk malah menjadi ruang terbaik menjelaskan manifesto serta pencapaian kerajaan negeri sepanjang lapan tahun mentadbir Negeri Sembilan.
“Setakat ini perjalanan kempen berjalan seperti biasa. Kita terus menyantuni pengundi dari rumah ke rumah kerana itu pendekatan yang kita pilih.
“Pada sebelah malam pula, kita adakan ceramah kelompok untuk menerangkan tawaran PH kepada pengundi serta menjelaskan isu-isu yang masih menimbulkan kekeliruan supaya mereka mendapat maklumat yang sahih,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah hari ini.
Noorzunita berkata, ceramah kelompok diadakan sepanjang tempoh berkempen turut memberi penekanan kepada kepentingan memilih kepimpinan yang mampu membawa suara rakyat serta meneruskan agenda pembangunan negeri.
Mengulas dakwaan pihak lawan yang dilihat semakin kerap memainkan sentimen perkauman menjelang penghujung kempen, Noorzunita memilih untuk tidak terikut dengan pendekatan sedemikian.
Katanya, meskipun terdapat cubaan membangkitkan isu kaum, beliau melihat pengundi di Pilah lebih berminat mendengar tawaran serta rekod pencapaian yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan mereka.
“Memang ada sedikit kesan apabila pelbagai isu dimainkan tetapi kita cuba menjawab dengan fakta dan apa yang telah kita laksanakan selama ini.
“Kita tidak berkempen menggunakan sentimen kaum atau memainkan isu yang boleh memecah-belahkan masyarakat. Sebaliknya kita menerangkan apa yang telah dilakukan kerajaan Pakatan Harapan sepanjang lapan tahun mentadbir Negeri Sembilan,” ujarnya.
Noorzunita berkata, masyarakat Kuala Pilah sejak sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati tanpa mengira kaum dan budaya, justeru keharmonian itu perlu terus dipelihara.
“Saya sendiri tidak membawa politik perkauman sepanjang kempen kerana masyarakat di Kuala Pilah sudah lama hidup dalam suasana hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Sentimen seperti itu perlu ditolak. Apa yang lebih penting ialah kita menawarkan dasar, pencapaian dan perancangan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian, fokus kempen akan terus diberikan kepada usaha menyantuni pengundi secara bersemuka bagi memastikan mereka memperoleh maklumat yang tepat sebelum membuat keputusan di peti undi pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette
















