Bangunan Parlimen

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli

BEKAS pemimpin DAP, Ronnie Liu, mencetuskan polemik menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya pada 26 Julai 2026 apabila mendakwa bahawa “Every ethnic group in Malaysia has origins outside this land, except the orang asli”. Beliau turut berhujah bahawa orang Melayu, sama seperti kaum Cina dan India, mempunyai asal-usul nenek moyang dari luar tanah ini, manakala hanya orang asli merupakan penduduk asal negara ini.

Kenyataan tersebut kemudiannya mendapat liputan media. Tidak dapat dinafikan bahawa orang asli merupakan komuniti terawal yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu. Perkara ini merupakan fakta sejarah dan antropologi yang diterima umum. Namun, adakah hakikat tersebut secara automatik bermaksud orang Melayu bukan penduduk asal Tanah Melayu? Sudah tentu tidak.

Jika logik yang digunakan Ronnie Liu diterapkan secara konsisten, maka ia juga perlu diaplikasikan kepada negara-negara lain. China, misalnya, mempunyai 56 kumpulan etnik yang diiktiraf secara rasmi. Selain masyarakat Han, terdapat masyarakat Tibet, Uyghur, Mongol, Zhuang, Miao dan Yi yang mempunyai sejarah panjang di wilayah tersebut. Namun, kewujudan komuniti-komuniti ini tidak pernah membawa kepada kesimpulan masyarakat Han tidak mempunyai hubungan sejarah yang mendalam dengan China.

Begitu juga di Jepun. Masyarakat Ainu dan Ryukyu telah lama mendiami wilayah tertentu sebelum pembentukan negara Jepun moden. Namun, tiada ahli sejarah yang berhujah bangsa Jepun bukan masyarakat asal Jepun hanya kerana terdapat komuniti yang lebih awal. Taiwan turut memberikan gambaran yang sama. Masyarakat pribumi Taiwan telah lama mendiami pulau tersebut sebelum penghijrahan besar-besaran masyarakat Han. Tetapi, sejarah Taiwan tidak pernah dinilai semata-mata berdasarkan siapa yang tiba terlebih dahulu.

Di Thailand pula, sejarah menunjukkan kewujudan masyarakat Mon, Khmer dan Melayu di beberapa wilayah sejak sekian lama, tetapi hakikat itu tidak membawa kepada kesimpulan bahawa masyarakat Thai bukan masyarakat asal Thailand. Vietnam turut memberikan contoh yang menarik.

Masyarakat Cham telah membentuk Kerajaan Champa yang wujud selama berabad-abad di wilayah yang kini menjadi Vietnam tengah. Walaupun masyarakat Cham mempunyai sejarah yang panjang di rantau tersebut, hakikat itu tidak pernah membawa kepada kesimpulan masyarakat Kinh (Viet), yang membentuk majoriti penduduk Vietnam hari ini, bukan masyarakat asal Vietnam.

Persoalannya mudah. Mengapa logik yang  tidak digunakan dalam konteks China, Jepun, Taiwan, Thailand atau Vietnam perlu diterima apabila membincangkan sejarah Malaysia? Sejarah tidak boleh disederhanakan kepada persoalan siapa yang tiba dahulu. Hampir semua negara moden terbentuk melalui proses  penghijrahan, asimilasi, pembinaan tamadun dan perkembangan institusi politik yang berlaku selama ratusan, malah ribuan tahun.

Malaysia tidak terkecuali. Sebelum kedatangan kuasa penjajah Barat, orang Melayu telah membentuk kerajaan-kerajaan berdaulat seperti Kedah, Melaka, Johor, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Istilah Tanah Melayu atau Malay Peninsula pula telah digunakan dalam pelbagai rekod sejarah selama berabad-abad, mencerminkan hubungan sejarah yang mendalam antara masyarakat Melayu dengan wilayah ini. Lebih penting, kesinambungan institusi Kesultanan Melayu yang kekal hingga kini menjadi asas kepada sistem Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk institusi Yang di-Pertuan Agong.

Dari sudut perundangan pula, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 160(2) mentakrifkan siapakah yang dimaksudkan sebagai “Melayu”. Walaupun istilah “bumiputera” tidak digunakan secara khusus dalam Perlembagaan, ia kemudiannya berkembang sebagai istilah dasar bagi merujuk kepada orang Melayu serta masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.

Menariknya, Perkara 152 Perlembagaan Republik Singapura pula secara jelas mengiktiraf orang Melayu sebagai “the indigenous people of Singapore”. Pengiktirafan perlembagaan di kedua-dua negara ini menunjukkan kedudukan sejarah masyarakat Melayu di rantau ini tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan persoalan siapa yang tiba terlebih dahulu.

Mengiktiraf orang asli sebagai komuniti terawal tidak bermaksud kita perlu menafikan hubungan sejarah orang Melayu dengan Tanah Melayu. Kedua-dua hakikat tersebut boleh wujud secara serentak. Perbahasan mengenai sejarah hendaklah berasaskan penyelidikan dan bukti, bukannya kesimpulan yang terlalu umum. Sejarah Malaysia jauh lebih kompleks daripada sekadar menentukan siapa yang tiba dahulu.

Dalam era media sosial, kenyataan ahli politik mampu membentuk persepsi masyarakat dalam sekelip mata. Justeru, setiap kenyataan mengenai sejarah dan identiti negara perlu dibuat secara cermat, berasaskan fakta dan menghormati dapatan penyelidikan akademik. Sejarah Malaysia bukan sekadar persoalan siapa yang tiba terlebih dahulu, tetapi kisah panjang pembentukan tamadun, institusi dan negara yang wajar difahami secara menyeluruh, bukannya disederhanakan demi kepentingan politik semasa.

Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) &
Felo Penyelidik, Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast