SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan berpotensi menyaksikan perubahan apabila rakyat dilihat semakin matang dalam menilai prestasi serta kredibiliti parti politik dan pemimpin.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Medan Selera Ampangan di sini mendapati pengundi kini tidak lagi mudah dipengaruhi dengan retorik politik.

Menurut seorang pengundi Ampangan, Halim Rahim, 65, berpandangan rakyat membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran, kemampuan menunaikan janji serta integriti pemimpin.
“Saya rasa perubahan akan berlaku kerana rakyat sudah boleh menilai. Dulu mungkin banyak isu rasuah, fitnah dan macam-macam lagi, tetapi sekarang rakyat lebih bijak membuat keputusan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, disini, hari ini.
Halim berkata, perkembangan teknologi dan media sosial turut membantu rakyat mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber sebelum membuat pilihan.
“Kalau dulu orang hanya dengar dan terima sahaja apa yang disampaikan. Sekarang mereka buat kajian sendiri, semak balik sama ada janji yang dibuat sebelum ini benar-benar ditunaikan ataupun tidak,” katanya.
Halim turut menegaskan, pengundi perlu melihat sesebuah parti secara keseluruhan dan bukannya hanya berdasarkan populariti individu tertentu.
Menurutnya, dalam sistem demokrasi negeri, kestabilan pentadbiran bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi sesebuah parti, bukan hanya kemenangan calon di satu atau dua kawasan.
“Kalau seseorang calon itu menang di satu kawasan sahaja, ia tidak menjamin keseluruhan pentadbiran negeri berubah. Sebab itu rakyat kena timbang parti secara keseluruhan kerana pemerintahan bergantung kepada kumpulan yang memperoleh majoriti,” katanya.
Beliau turut berpandangan rakyat Negeri Sembilan mempunyai cara tersendiri dalam membuat keputusan politik tanpa terlalu menonjolkan pendirian mereka sepanjang tempoh kempen.
“Orang Negeri Sembilan ini biasanya tidak banyak bercakap. Mereka senyap-senyap tetapi akhirnya mereka sendiri akan buat keputusan berdasarkan penilaian mereka,” katanya.
Mengulas isu pembangunan di Seremban, Halim berpendapat masih banyak perkara yang perlu diperbaiki termasuk beban kos sara hidup dan kadar cukai yang menurutnya semakin meningkat.
Beliau mempersoalkan alasan kerajaan negeri yang mengatakan berjaya meningkatkan hasil negeri sedangkan rakyat pada masa sama terpaksa menanggung kenaikan pelbagai cukai dan caj.
“Kalau cukai naik, memanglah hasil negeri bertambah. Tetapi rakyat juga yang menanggung beban itu. Perkara seperti kadar penalti pembayaran lewat cukai juga perlu dikaji semula supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.
Beliau mengakui keadaan ekonomi negara turut dipengaruhi faktor global, namun kerajaan tetap perlu mencari pendekatan terbaik bagi mengurangkan tekanan yang dirasai rakyat.
“Kita faham ekonomi dunia memberi kesan kepada Malaysia. Tetapi rakyat mahu melihat bagaimana kerajaan menguruskan keadaan itu supaya mereka benar-benar merasai pembelaan daripada kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, Halim mengingatkan semua calon yang bertanding supaya tidak menjadikan pilihan raya sebagai medan menabur janji semata-mata.
Tegasnya, setiap pemimpin perlu bertanggungjawab terhadap segala janji yang dibuat kepada rakyat dan tidak mengutamakan jawatan semata-mata.
“Jangan masa berkempen berjanji macam-macam tetapi apabila menang semuanya dilupakan. Kalau nak jadi pemimpin, pastikan boleh melaksanakan amanah yang diberikan.
“Pemimpin bukan sahaja akan dinilai di mahkamah dunia, tetapi juga di mahkamah akhirat. Jawatan adalah amanah yang besar dan setiap janji kepada rakyat perlu ditunaikan,” katanya.

Bagi seorang pengundi veteran, Isahak Fazaldin, 77, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu memberi perhatian lebih serius terhadap beberapa isu kemudahan awam, termasuk keadaan Medan Selera Benteng @Ampangan.
Isahak yang merupakan anak jati Ampangan berkata, dia menyaksikan sendiri perubahan kawasan itu sejak kecil, namun masih banyak aspek yang perlu ditambah baik agar pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk.
Jelasnya, antara isu paling ketara ialah keadaan Medan Selera Benteng @Ampangan yang disifatkan menarik dari segi fizikal, namun gagal berfungsi sepenuhnya apabila sebahagian besar gerai tidak beroperasi.
“Medan Selera Benteng @Ampangan itu nampak cantik dari luar, tetapi apabila masuk ke dalam, banyak gerai tutup. Kadang-kala ada peniaga, kadang-kala tiada. Keadaan itu menyebabkan pelanggan semakin berkurangan dan peniaga hilang semangat untuk berniaga.
“Saya difahamkan ada individu yang mahu berniaga tetapi tidak memperoleh lesen atau geran. Jadi pihak berkuasa perlu membuat pemantauan terhadap gerai yang lama tidak beroperasi.
“Tarik semula lesen gerai kosong dan berikan kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga,” katanya.
Selain itu, berkatanya, kewujudan gerai makan sepatutnya menjadi pemangkin ekonomi setempat, namun matlamat itu tidak akan tercapai sekiranya hampir 90 peratus premis didakwa terus ditinggalkan tanpa operasi.
Isahak turut membangkitkan isu capaian Wi-Fi awam di sekitar UTC Seremban dan kawasan Medan Selera Benteng @Ampangan yang sering gagal berfungsi dengan baik.
“Kalau memang disediakan kemudahan internet, pastikan ia benar-benar boleh digunakan. Jangan sekadar ada nama sahaja tetapi pengguna langsung tidak dapat mengaksesnya.
“Kalau tidak boleh digunakan, lebih baik maklumkan dengan jelas daripada menyusahkan orang ramai yang mengharapkannya,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap susun atur pasar dan kawasan perniagaan yang disifatkan kurang terancang sehingga menjejaskan kebersihan serta keselesaan pengunjung.
Katanya, pihak berkuasa boleh memperkenalkan sistem petak perniagaan yang lebih tersusun seperti konsep medan selera atau tapak niaga mingguan bagi memastikan kawasan itu lebih kemas dan menarik.
“Dahulu kawasan ini terkenal dan sungainya bersih. Sekarang negara semakin maju, tetapi ada tempat yang masih kelihatan tidak berubah. Sayang kalau pembangunan tidak disertai dengan pengurusan yang baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Isahak turut menggesa penyediaan lebih banyak ruang parkir memandangkan terdapat tanah kosong berhampiran yang boleh dimanfaatkan bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan.
Menyentuh mengenai wakil rakyat, beliau mengakui mengenali kedua-dua calon yang bertanding di kerusi N.14 Ampangan dan tidak memihak kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, dia berharap sesiapa sahaja yang diberi mandat selepas pilihan raya nanti lebih mudah ditemui serta tidak menyukarkan urusan rakyat.
“Kalau boleh bantu, bantulah. Kalau tidak boleh, cakap terus terang. Jangan beri harapan sehingga orang menunggu lama tetapi akhirnya tiada penyelesaian.
“Yang penting jangan kecewakan rakyat. Wakil rakyat perlu sentiasa ada bersama masyarakat, bukan hanya ketika musim pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga murtabak, Usman Abas, merayu agar bakal wakil rakyat yang dipilih pada PRN Negeri Sembilan kali ini memberi perhatian serius terhadap isu lesen perniagaan dan tindakan penguatkuasaan yang didakwa semakin membebankan peniaga kecil.
Menurut Usman, dia telah berniaga di lokasi berkenaan sejak bertahun-tahun, malah lebih awal sebelum kawasan itu dibangunkan, namun kebelakangan ini, peniaga dakwanya termasuk dirinya sering dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun yang tinggi.
“Kami sudah berniaga di sini bertahun-tahun. Tiba-tiba sekarang hampir setiap minggu kena saman. Memang tak mampu nak bayar,” katanya.
Usman berkata, kadar kompaun yang kini mencecah RM300 bagi setiap kesalahan amat membebankan peniaga kecil yang hanya bergantung kepada jualan harian.
“Sekali saman RM300. Kami jual murtabak RM5 sahaja. Macam mana nak tanggung? Pendapatan pun bukan besar,” ujarnya.
Lebih mengecewakan, katanya, beberapa peniaga telah mengemukakan permohonan lesen perniagaan, namun permohonan mereka didakwa tidak diluluskan tanpa penjelasan yang memuaskan.
“Kawan-kawan sudah pergi mohon lesen pun tak lulus. Jadi macam mana lagi kami nak cari rezeki?” katanya.
Usman menjelaskan, dia bukan meminta layanan istimewa atau bantuan kewangan, sebaliknya hanya mahu dibenarkan meneruskan perniagaan secara sah.
“Saya cuma nak berniaga. Saya berniaga seminggu sekali sahaja, setiap hari Selasa. Itu sahaja. Tak minta lebih daripada itu,” katanya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan bukan hanya dikenakan terhadap dirinya, malah melibatkan ramai peniaga lain yang berniaga di kawasan tersebut.
“Semuanya kena. Kalau saya seorang sahaja mungkin lain ceritanya, tetapi ramai yang terkesan,” katanya.
Beliau turut mendakwa kadar kompaun yang dikenakan kini jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.
“Dulu sekitar RM70 atau RM80. Sekarang terus jadi RM300. Memang berat bagi kami,” katanya.

Bagi seorang lagi pengundi N.14 Ampangan, Ramli Mohd Said, berharap kerajaan yang bakal dipilih pada PRN Negeri Sembilan memberi perhatian lebih serius terhadap kebajikan peniaga kecil yang menurutnya berdepan pelbagai cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Ramli, yang mengusahakan perniagaan kecil di kawasan Ampangan, mendakwa golongan sepertinya sering berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk saman yang menurutnya menjejaskan pendapatan harian.
Katanya, peniaga kecil tidak seharusnya dibebankan dengan tindakan penguatkuasaan secara berterusan, sebaliknya memerlukan sokongan dan ruang untuk menjana pendapatan dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar.
“Kami hanya mahu mencari rezeki. Janganlah setiap kali berniaga, sedikit-sedikit kena saman. Sekarang keadaan ekonomi pun susah, untung pun hampir tiada, malah ada kalanya hendak dapat seorang pelanggan pun susah,” katanya.
Ramli turut mempersoalkan syarat ketat yang dikenakan bagi mendapatkan kemudahan pinjaman perniagaan, terutama kepada peniaga kecil yang memerlukan modal bagi mengembangkan atau meneruskan operasi.
Menurutnya, kebanyakan skim pinjaman memerlukan rekod pendapatan dan aliran kewangan yang baik, sedangkan mereka yang memohon pinjaman adalah golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Kalau pendapatan kami sudah cantik, kami tidak perlulah buat pinjaman. Kami buat pinjaman sebab perlukan modal. Tapi bila mohon, macam-macam syarat dikenakan sehingga ramai yang gagal mendapat kelulusan,” katanya.
Ramli berharap kerajaan dapat melonggarkan syarat pembiayaan kepada peniaga kecil selain memperkenalkan mekanisme yang lebih mesra rakyat bagi membantu mereka bangkit semula.
Dalam pada itu, Ramli berkata pengundi akan menilai prestasi kerajaan berdasarkan pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh pentadbiran, termasuk aspek kebajikan rakyat dan kemudahan menjalankan perniagaan.
Dia mengakui masih membuat pertimbangan sebelum menentukan pilihan pada hari pengundian, namun menegaskan sokongannya akan diberikan kepada calon yang dilihat benar-benar turun padang, menghormati rakyat dan memahami kesusahan masyarakat setempat.
“Saya tengok cara calon datang berjumpa rakyat pun penting. Ada yang sanggup duduk bersama kami, bertegur sapa dan mendengar masalah. Sikap merendah diri dan menghormati rakyat itu memberi kesan kepada hati saya,” katanya.
Pada masa sama, Ramli turut menyuarakan pandangan mengenai isu-isu politik semasa termasuk kedudukan orang Melayu, institusi adat Negeri Sembilan dan kepimpinan negeri yang menurutnya perlu terus dipelihara serta dihormati.
“Setiap pemimpin perlu memahami serta menghormati sistem Adat Perpatih dan institusi Undang di Negeri Sembilan tanpa campur tangan yang boleh mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















