KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) mendedahkan, proses tindakan tata tertib terhadap lima pegawai agensi itu mengambil masa terlalu lama sehingga ada yang mencecah 19 bulan.
Mereka yang terlibat ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk Rozaida Omar, Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Hamid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md. Ariff.
Dua lagi iaitu Ketua Pegawai Sumber Manusia, Mohd. Hisham Harun dan Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd. Khalid.
“Tindakan tatatertib itu diambil Lembaga Tabung Haji LTH) berbangkit daripada empat kluster, namun proses yang diambil terlalu lama di antara 10 bulan dan 19 bulan.
“Suruhanjaya berpandangan proses penyempurnaan tindakan tatatertib ini meliputi durasi penahanan kerja perlu diperkemas dan disegerakan,” demikian menurut laporan setebal 252 muka surat yang didedahkan kepada umum semalam.
Menurut laporan bertarikh 19 Julai 2022, Rozaida masih bertugas di TH manakala empat yang lain ditukarkan ke anak syarikat agensi itu.
Laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji LTH) dari 2014 hingga 2020 itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.
Menurut laporan itu, tindakan tatatertib dikenakan selepas berlaku perubahan dalam barisan pengurusan pasca Julai 2018.
Antara isu berbangkit daripada empat kluster itu adalah berkaitan penjualan saham dalam PT TH Indo Plantations serta pengemukaan tuntutan kepada Pengurus Unit Bayaran, Bahagian Perkhidmatan LTH yang mengandungi butiran palsu.
Bagi kluster pertama, suruhanjaya mendapati kertas pertuduhan telah dikeluarkan terhadap empat daripada mereka.
Mesyuarat Jawatan Kuasa Tatatertib memutuskan membuang mereka, bagaimanapun rayuan keempat-empatnya dibenarkan dan dikurangkan kepada hukuman penurunan pangkat. – MalaysiaGazette















