Gambar hiasan

 

JAKARTA – Seorang juruterbang warga Malaysia berdepan hukuman mati di Indonesia selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta kerana didakwa membawa lebih 70,000 pil ekstasi di dalam bagasinya.

Menurut polis Indonesia, lelaki berusia 39 tahun yang hanya dikenali dengan inisial MSO itu turut didapati berada di bawah pengaruh dadah ketika menerbangkan pesawat penumpang dari Kuala Lumpur ke Jakarta.

MSO ditahan pada lewat hari Rabu, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

AFP melaporkan, pihak kastam lapangan terbang tidak mendedahkan syarikat penerbangan yang diwakilinya, namun nombor penerbangan menunjukkan pesawat tersebut dikendalikan oleh Malaysia Airlines.

Pegawai Kastam Lapangan Terbang, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata, ujian air kencing terhadap suspek didapati positif methamphetamine (meth), MDMA dan kokain.

“Keputusan ujian air kencing menunjukkan dia positif meth, MDMA dan kokain. Ini bermakna ketika mengendalikan penerbangan, dia berada di bawah pengaruh dadah.

“Perkara yang amat membimbangkan ialah suspek merupakan seorang juruterbang dan baru sahaja menerbangkan pesawat dari Kuala Lumpur ke Indonesia,” katanya kepada pemberita di Jakarta.

Pemeriksaan kastam menemui 14 bungkusan berisi lebih 70,000 pil ekstasi di dalam bagasi suspek, selain empat gram methamphetamine dalam beg tangan miliknya.

Pegawai Unit Siasatan Jenayah Narkotik Polis Indonesia, Awaludin Amin berkata, siasatan awal mendapati ini merupakan kali ketiga suspek menyeludup dadah ke Indonesia.

Menurutnya, polis percaya MSO merupakan anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan telah didakwa mengikut undang-undang narkotik Indonesia.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Indonesia merupakan antara negara yang mengamalkan undang-undang antidadah paling tegas di dunia, termasuk hukuman mati terhadap pengedar dadah, namun negara itu mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Ketika ini, puluhan warga asing yang didakwa terbabit dalam penyeludupan dadah masih menunggu pelaksanaan hukuman mati di negara berkenaan.

Kali terakhir Indonesia melaksanakan hukuman mati ialah pada 2016, melibatkan seorang rakyat Indonesia dan tiga warga Nigeria yang disabitkan kesalahan berkaitan dadah.

Pada Mac lalu, dua lelaki warga Britain masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan dan 11 tahun selepas didapati bersalah menyeludup kokain ke pulau peranginan Bali. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast