SEREMBAN – Isu penempatan etnik Rohingya di Taman Jujur, Sikamat di sini bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan lebih sedekad dan memerlukan penyelesaian menyeluruh sekiranya mengancam keselamatan serta ekonomi penduduk setempat.
Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad mengakui penempatan etnik Rohingya itu wujud sejak 15 tahun lalu dan berkembang secara berperingkat, sekali gus menolak tanggapan isu itu hanya timbul beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada pertambahan komuniti tersebut ialah kewujudan peluang pekerjaan yang menawarkan upah lebih rendah sehingga mendapat permintaan daripada sebahagian majikan tempatan.
“Penempatan etnik Rohingya ini bukan berlaku tiga atau empat tahun kebelakangan ini. Bahkan ia telah berlaku lebih 10 hingga 15 tahun dahulu dan semakin lama semakin membesar.
“Apabila mereka bekerja dan menawarkan upah rendah, wujud permintaan daripada sebahagian masyarakat tempatan yang menyebabkan mereka memperoleh peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Desa Permai, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan itu calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz sebelum ini berhubung isu penempatan etnik Rohingya di Taman Jujur di sini dijadikan antara isu utama sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Mengulas kebimbangan penduduk terhadap aspek keselamatan, Nor Azman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan yang mempunyai tumpuan warga asing.
“Saya nampak dari sudut keselamatan, pihak polis sentiasa meningkatkan kawalan terutama di kawasan Taman Jujur.
“Itu menunjukkan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian oleh pihak berkuasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sekiranya keadaan pada masa depan didapati boleh mengancam keselamatan penduduk atau memberi kesan kepada ekonomi masyarakat setempat, tindakan lebih tegas perlu dipertimbangkan oleh pihak berkuasa.
“Mungkin langkah-langkah lain selepas ini, sekiranya berlaku perkara tidak diingini dan mengancam kedudukan keselamatan penduduk DUN Sikamat serta ekonomi masyarakat di sini.
“Tindakan lebih drastik perlu dilaksanakan melalui saluran pihak berkuasa keselamatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















