JOHOR BAHRU – Selepas lebih sebulan bertugas membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, pengamal media dari negeri ini hari ini menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi bagi PRN Negeri Sembilan.
Mohd Azizi Abd Majid, 43, yang bekerja di NSTP Biro Johor pulang ke Kampung Kemin di Negeri Sembilan semalam mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Serambai di sini pukul 8 pagi.
“Pada PRN sebelum ini saya kebiasaannya mengundi secara pos tetapi pada kali ini saya ambil keputusan untuk mengundi secara fizikal kerana sudah lama tidak merasai suasana sebenar di pusat mengundi.
“Selama ini saya hanya membuat liputan dan melihat orang ramai keluar mengundi termasuk pada PRN Johor baru-baru ini, tetapi kali ini saya sendiri melalui proses itu. Perasaannya memang berbeza dan lebih bermakna,” katanya selepas selesai mengundi.
Beliau berkata, pengalaman membuat liputan PRN Johor sebelum ini turut memberikan perspektif berbeza apabila tampil sebagai pengundi.
“Saya membuat liputan PRN Johor dari hari pertama DUN dibubarkan pada 1 Jun sehingga Hari Mengundi pada 11 Julai. Tidak sangka, dalam tempoh kurang sebulan saya pula menjadi sebahagian daripada proses demokrasi sebagai pengundi di Negeri Sembilan.
“Ia satu pengalaman yang cukup menarik kerana dapat merasai kedua-dua peranan iaitu sebagai wartawan dan sebagai pengundi,” katanya.
Mohd Azizi yang sudah 20 tahun menjadi wartawan daripada pelbagai agensi media termasuk Utusan Malaysia, Kosmo! dan TV3 di Johor berkata, meskipun 17 bertugas di Johor Bahru, beliau sentiasa mengikuti perkembangan politik di DUN Klawang.
“Saya mengikuti perkembangan ketiga-tiga calon yang bertanding menerusi laporan media cetak, media elektronik dan media sosial. Sebagai pengundi, saya mahu membuat pilihan berdasarkan maklumat yang saya peroleh sepanjang tempoh berkempen.
“Setiap calon mempunyai pendekatan masing-masing dan sebagai pengundi saya menilai berdasarkan apa yang ditawarkan serta kemampuan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kepulangannya bersama-sama isteri dan dua anak ke kampung bukan sahaja untuk mengundi malah mengambil kesempatan meluangkan masa bersama keluarga yang jarang ditemui kerana komitmen kerja.
“Ini juga peluang untuk balik kampung dan bertemu keluarga. Selepas selesai mengundi, saya akan meluangkan sedikit masa bersama mereka sebelum kembali ke Johor Bahru esok bagi meneruskan tugasan seperti biasa,” katanya.
Kerusi DUN Klawang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang, Bakri Sawir daripada Pakatan Harapan (PH), Danni Rais daripada Perikatan Nasional (PN) dan Adib Musa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sementara itu, Ketua Biro Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) Johor, Nur Aiza Farina Adam, 40, pula juga memilih mengundi secara fizikal bagi merasai pengalaman itu bersama-sama rakyat Negeri Sembilan yang lain.
“Saya pilih untuk fizikal kerana bagi saya, perasannya lebih puas apabila dapat hadir sendiri ke pusat mengundi dan jalankan tanggungjawab sebagai rakyat. Selagi ada peluang untuk hadir sendiri, itu menjadi pilihan saya berbanding undi pos.
“Mungkin sebab saya sendiri selalu bertugas semasa membuat liputan pilihan raya sebagai pengamal media, jadi apabila berpeluang pergi mengundi, pengalaman itu menjadi lebih bermakna,” katanya yang mengundi di DUN Paroi.- MalaysiaGazette















