Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Sistem Pengecaman Aksara Optik: Kehadiran Pengundi (Optical Character Recognition Voter Attendance, OCR-VA) seharusnya dimaklumkan lebih awal kepada semua pihak berkepentingan, kata Setiausaha Agung PKR.

Menurut Datuk Fuziah Salleh, beliau tidak mempertikaikan peranan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam menambah baik proses pilihan raya namun pemakluman dan libat urus perlu bersama pemegang taruh patut dilaksanakan terlebih dahulu.

“Sebarang sistem baharu tidak seharusnya diperkenalkan tanpa penerangan yang jelas termasuk kaedah pelaksanaan, skop penggunaan dan prosedurnya kepada calon dan pihak berkaitan.

“Apatah lagi pilihan raya bukan tempat eksperimen untuk menguji prosedur baharu, sebab itu sebarang perubahan tanpa komunikasi dan libat urus semua pihak dibimbangi menimbulkan kekeliruan dan mengundang persoalan yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah beliau, integriti sesebuah pilihan raya bukan sahaja bergantung kepada teknologi yang digunakan, tetapi juga kepada tahap ketelusan, kesiapsiagaan dan keyakinan semua pihak terhadap proses tersebut.

Atas sebab itu katanya, pemakluman dan libat urus awal bukan sekadar amalan terbaik, malah sememangnya satu keperluan untuk memastikan pesta demokrasi negara berlangsung dengan lancar dan diyakini semua pihak. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast