Suasana di sekitar Command Centre Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Klana Resort, Seremban. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat sebagai mesej jelas rakyat kepada Kerajaan Persekutuan.

Pemerhati politik, Tai Zee How menerusi Facebooknya Ulasan Apek Cina berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya tersebut dengan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.

“Harap-harap PMX dan DAP dapat mesej daripada rakyat ini. Utamakan rakyat, jangan kuat bermain politik dan sentimen perkauman lagi. Tumpu dalam ekonomi,” katanya.

Beliau mengakui telah menghadiri beberapa siri ceramah sepanjang kempen PRN di Negeri Sembilan, antaranya di Chennah, Klawang, Temiang, Rahang, Repah dan Nilai.

“Syukur kepada Tuhan, kita menang dua pertiga di Negeri Sembilan. Hidup BN! Terima kasih kepada Negeri Sembilan dan Johor. Ingatan yang manis,” menurut hantaran itu.

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat yang dipilih supaya melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan tidak bersikap sombong selepas memperoleh kemenangan.

“Yang menang, buat kerja sekarang dan jangan sombong,” pesannya.

Beliau turut berpandangan kerajaan perlu mengiktiraf dasar-dasar yang diperkenalkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya terbukti memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau dasar Najib yang baik itu, akuilah kesalahan dan beri kredit yang sewajarnya. Jangan curi kredit.

“Ini juga mesej daripada rakyat Malaysia melalui kedua-dua PRN ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast