PULAU PINANG – Tiga warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki menceroboh Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) di struktur Jambatan Pulau Pinang dalam operasi penguatkuasaan di perairan negeri ini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Pinang.
Menurutnya, pemeriksaan di kawasan kaki tiang Jambatan Pulau Pinang mendapati dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berada di kawasan yang diwartakan sebagai KLTL tanpa kebenaran.
“Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL).
“Mereka ditahan sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu bukan sahaja bagi memastikan pematuhan undang-undang, malah meningkatkan kesedaran komuniti maritim dan orang awam mengenai kepentingan mematuhi kawasan larangan yang diwartakan.
Katanya, kawasan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan KLTL yang meliputi zon penampan sejauh 250 meter di sebelah kiri dan kanan jambatan.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki kawasan larangan tanpa kebenaran bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta memastikan keselamatan awam dan pemeliharaan infrastruktur kritikal negara. – MalaysiaGazette















