GEORGE TOWN – Tiga pemancing tempatan termasuk seorang wanita ditahan susulan menceroboh bawah Jambatan Pulau Pinang yang diwartakan sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kesemua individu terbabit ditahan kira-kira 1.30 tengah hari ketika bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjalankan rondaan rutin di perairan negeri ini.
Menurutnya, pemeriksaan di kawasan kaki tiang Jambatan Pulau Pinang mendapati dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berada di kawasan KLTL tanpa kebenaran.
“Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh KLTL.
“Mereka telah ditahan sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan itu bukan sahaja bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang malah meningkatkan kesedaran komuniti maritim serta orang awam mengenai kepentingan mematuhi kawasan larangan yang telah diwartakan.
Jelasnya, kawasan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan KLTL yang meliputi zon penampan sejauh 250 meter di sebelah kiri dan kanan jambatan.
“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki kawasan larangan tanpa kebenaran bagi mengelakkan tindakan undang-undang selain memastikan keselamatan awam serta pemeliharaan infrastruktur kritikal negara,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan aktiviti pencerobohan di kawasan berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan saluran kabel komunikasi serta kabel elektrik voltan tinggi milik Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di bawah struktur jambatan.
Justeru bagi memperkukuh tadbir urus keselamatan, Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN) bersama CGSO Pulau Pinang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), PLUS serta agensi keselamatan berkaitan kini merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal selia sebarang aktiviti yang dijalankan berhampiran kedua-dua jambatan. – MalaysiaGazette















