BAYAN LEPAS – Tiada istilah berehat panjang buat jaguh judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed, sebaliknya atlet berusia 22 tahun itu terus kembali ke gelanggang latihan sebaik pulang ke tanah air selepas mencipta sejarah di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Amir Daniel berkata, misi seterusnya adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun yang akan membuka tirai hujung September depan.
“Saya tidak berehat panjang. Jam 6 pagi ini (hari ini) saya kembali memulakan latihan untuk Sukan Asia yang sudah dekat.
“Cuma bila dapat pulang ke rumah, saya gembira kerana dapat tidur dan berehat di katil sendiri,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini.
Beliau tiba bersama jurulatihnya, Md Nashriq Md Nasir, menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur selepas menyertai temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Turut menyambut kepulangan mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen serta ibu alter itu, Yeoh Suatkhim.
Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu mencipta sejarah apabila muncul atlet judo pertama negara meraih pingat emas di Sukan Komanwel menerusi kategori bawah 81 kilogram.
Pada aksi final di Scottish Event Campus (SEC), Ahad lalu, Amir Daniel menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen menerusi waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit.
Kejayaan itu lebih manis apabila Amir Daniel yang menghuni ranking ke-117 dunia berjaya menewaskan Meuwsen yang berada di kedudukan ke-41 dunia, sekali gus menyumbang pingat emas kelapan kepada kontinjen negara.
Dalam pada itu, Amir Daniel berkata, sasaran selepas Sukan Komanwel adalah memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selain berusaha menghadiahkan pingat di pentas berprestij itu.
Sementara itu, Daniel Gooi berkata, kejayaan Amir Daniel turut melayakkannya menerima ganjaran menerusi Skim Insentif Kecemerlangan Sukan (SKIMAS) Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang jumlahnya akan diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















