Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas hadir ke program Rewang dan Ramah Mesra Komuniti Ampang Pecah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Taman Ampang Pecah, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 MEI 2024.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak meneruskan kerja-kerja konservasi Kapal Korek Seri Banting selepas penilaian semula mendapati projek itu berdepan cabaran dari aspek teknikal, kos pelaksanaan dan kemampanan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MKN) pada 30 November tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Soalan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Jamil Salleh yang meminta penjelasan mengenai status terkini pengurusan Kapal Korek Seri Banting, termasuk hala tuju pembangunan, kos telah dibelanjakan serta perkembangan projek berkenaan.

Menurut Borhan, walaupun kerja-kerja konservasi asal tidak diteruskan, kerajaan negeri tetap mengiktiraf nilai sejarah dan warisan Kapal Korek Seri Banting yang wajar dipelihara.

“Justeru, kapal korek ini akan dikekalkan sebagai aset Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan dibangunkan sebagai produk pelancongan warisan berimpak tinggi.

“Cadangan pembangunan baharu adalah menjadikan kawasan ini sebagai taman rekreasi awam dan destinasi pelancongan dengan kapal korek dikekalkan sebagai monumen in situ yang menjadi elemen utama pembangunan,” ujarnya.

Beliau berkata, pembangunan itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara MPSepang, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) selaku pemilik tanah dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurutnya, konsep pembangunan berkenaan menggabungkan elemen pemeliharaan warisan, pendidikan, rekreasi dan pelancongan bagi mewujudkan sebuah destinasi baharu yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta menarik lebih ramai pengunjung.

Dalam pada itu, Borhan berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan RM10.584 juta bagi pembelian Kapal Korek Seri Banting.

Katanya, sebanyak RM4.636 juta lagi diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih termasuk pembaikan bumbung dan dinding kapal serta pembinaan jalan masuk ke lokasi berkenaan.

“Secara keseluruhannya, jumlah perbelanjaan yang direkodkan setakat ini adalah RM15.281 juta termasuk kerja-kerja penyelenggaraan seperti mengepam keluar air daripada kapal korek,” katanya lagi.

Beliau berkata, beberapa rundingan turut diputuskan bagi meneruskan pembangunan projek itu mengikut hala tuju baharu, yang kini berada di bawah penyelarasan MPSepang.

Menjawab soalan tambahan Jamil berhubung pertambahan kos akibat kelewatan projek serta kemungkinan penalti dikenakan kepada pihak terlibat, Borhan berkata projek itu kini di bawah kelolaan MPSepang dan bukan lagi di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sama ada sebarang kos tambahan atau penalti akan ditanggung oleh mana-mana pihak, sebaliknya memaklumkan rundingan antara MPSepang, PNSB dan MOTAC sedang diteruskan bagi memuktamadkan pelaksanaan konsep pembangunan baharu tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast