KUANTAN – Seorang pengawal keselamatan dan seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu bagi mendapatkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 membabitkan nilai keseluruhan RM9,000.
Tertuduh pertama, Wan Shahnizam Wan Kamaruddin Al Yahya, 43, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysian Technical Skills Academy (MTSA) didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 akta yang sama.
Tertuduh kedua, Emma Mohd Taha, 42, selaku pemilik syarikat EMT Multibiz Empire pula berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, syarikat EMT Multibiz Empire didakwa antara tahun 2024 hingga 2025 telah mengemukakan dokumen yang disyaki mempunyai butiran matan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 berjumlah RM9,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ab Azim Ismail manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Syamsul Akmar Yusof.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 seorang dengan seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 7 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette















