Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dilaporkan memohon mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, selepas mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersetuju memberi cuti sementara kepada beliau.

Ujarnya, cuti sementara itu akan bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan.

Susulan itu, tambah beliau, mesyuarat MPP PKR hari ini turut memutuskan Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.

“MPP juga bersetuju bahawa jawatan Pengarah Pilihanraya KEADILAN digalas sepenuhnya oleh Dato’ Seri Amirudin Shari, Naib Presiden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, menurut Fahmi, MPP dalam mesyuarat sama menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Ujarnya, parti itu juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus-lumus sewaktu dua PRN itu serta merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atas perkhidmatan cemerlang sepanjang dua penggal lalu.

Berhubung Kongres Nasional 2026 pula, ujarnya, Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN pada 14 Ogos ini.

“MPP turut meluluskan 3,533 orang anggota baharu bagi tempoh 12 Julai sehingga Ogos 2026, yang telah mendaftar secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast