Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menjawab pertanyaan media bagi menyelesaikan masalah dihadapi petani-petani di Kanthan berhubung status tanah di Chemor, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Pas didakwa sengaja mengalihkan isu utama berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, parti pembangkang itu dilihat lebih cenderung mempersoalkan masa pendedahan laporan berkenaan berbanding membahaskan kandungan dapatan yang telah dikemukakan.

“Pas nampaknya masih giat dengan budaya politik mengalih tiang gol. Apabila kerajaan membentangkan dapatan RCI Tabung Haji baru-baru ini, mereka tidak berminat untuk membahaskan kandungan di dalam laporan tersebut, sebaliknya disoal pula mengapa ia didedahkan sekarang.

“Kalau pun didedahkan lebih awal, mungkin mereka akan kata tergesa-gesa. Begitulah wajah dan kualiti Pas sebagai pembangkang hari ini apabila matlamatnya bukan tabayyun atau mencari kebenaran tetapi memastikan mereka sentiasa membangkang.

“Parah sungguh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut mempersolkan, jika tidak sekarang bilakah tempoh masa paling sesuai dirasakan Pas untuk pendedahan RCI tersebut.

“Sebenarnya, bila waktu yang dianggap sesuai oleh Pasir Mas? Selepas PRN Sabah? Sebelum PRN Johor? Selepas selesai PRN Negeri Sembilan?

“Atau mungkin sebelum PRN Sarawak? Atau selepas PRN Melaka? Mungkin tunggu sahaja selesai PRU-16?

“Hakikatnya, bila pun laporan ini didedahkan, watak seperti beliau tidak akan berpuas hati.

“Kita buka satu medan, mereka akan segera membuka medan yang lain.

“Sedangkan bukan mereka tidak tahu beberapa tangkapan telah pun berjalan dan kelak akan digerakkan pendakwaan terhadap watak-watak yang telah dikenalpasti terlibat,” katanya lagi.

Jelasnya, sudah ada tindakan segera yang telah pun dilakukan.

“Buat pihak legislatif pula, ruang telah dibuka sepenuhnya untuk membahaskan laporan ini di Dewan Rakyat.

“Harapnya Pasir Mas yang bergeliga ini akan mengambil bahagian dalam sesi tersebut dengan membentangkan hujah-hujah yang benar-benar berkualiti, seperti selalu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pada ketika ini kerajaan telah menjelaskan pihak pengurusan Tabung Haji sendiri yang memohon agar pendedahan laporan tidak dibuat sejuru selepas RCI kerana bimbang akan implikasinya terhadap keyakinan pendeposit dan keteguhan institusi tersebut.

“Mungkin Pasir Mas belum benar-benar memahami bagaimana sentimen pasaran dan dunia pelaburan berfungsi.

“Hakikatnya TH hari ini semakin pulih, kembali mencatat keuntungan dan kedudukan asetnya telah pun mengatasi liabiliti.

“Kalau pun Pasir Mas tidak boleh menyanggah fakta, jangan pula bermain dengan sentimen dan emosi rakyat.

“Skandal 1MDB yang pernah menjadi skandal kewangan terbesar dunia pun akhirnya ‘disucikan’ apabila Pas punyai kepentingan,” tulisnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempertikaikan tindakan kerajaan yang baru sekarang mendedahkan laporan berkenaan serta mempersoalkan kelewatan siasatan ke atas pihak yang terlibat. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast