PETALING JAYA – Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan wujud sebarang keretakan dalam kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, Hamzah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai cubaan pihak tertentu untuk memecah-belahkan gabungan itu.
Menurut beliau, hubungan antara parti-parti komponen PN-BN berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang konflik seperti yang didakwa.
“Saya tak nampak pun ada keretakan dalam PN-BN. Hari ini baru sahaja kita angkat sumpah (Exco Kerajaan Negeri Sembilan), bagaimana orang boleh kata ada keretakan?
“Ini hanyalah unsur-unsur untuk memecah-belahkan kita,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung luar biasa Wawasan di sini, malam ini.

Hamzah turut merujuk kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menurutnya tidak menunjukkan sebarang masalah dalam hubungan antara parti komponen.
“Saya dengar juga tadi Tuan Guru Haji Hadi, dia puas hati. Tak ada pun masalah.
“Setiap parti mempunyai hak menentukan urusan dalaman masing-masing dan perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu oleh pihak luar,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata, tindakan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu yang melepaskan jawatan tidak akan menjejaskan kestabilan PN, malah perkara itu disifatkan sebagai urusan dalaman sesebuah parti.
Katanya, beliau enggan mencampuri hal ehwal parti lain, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda lebih besar iaitu memperkukuhkan gabungan pembangkang serta memperluaskan sokongan rakyat.
“Kita tak ambil hal tentang orang. Saya juga minta orang lain jangan masuk campur pasal kami (Wawasan).
“Kalau parti lain nak letak jawatan atau buat apa-apa keputusan, itu masalah mereka,” katanya.
Terdahulu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dan dua lagi pimpinan negeri parti itu mengumumkan peletakan jawatan masing-masing hari ini.
Razali berkata, surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lepas.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail pula melepaskan jawatan Ketua Penerangan, manakala ADUN Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin mengumumkan peletakan jawatan Bendahari parti.
Susulan perkembangan politik yang melanda bekas partinya itu, Hamzah menegaskan Wawasan sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka kepada mana-mana individu yang ingin menyertai parti itu.
“Kita telah umumkan sesiapa sahaja kita terima sebab pada saya kita mementingkan agenda yang lebih besar.
“Kalau orang nak masuk, kita terima kerana ia memberi sesuatu yang lebih baik untuk parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















