Dari kanan: Wong Chen, Lee Chean Chung, Ahli Parlimen Petaling Jaya; Rodziah Ismail, Kesavan Subramaniam dan Zahir Hassan.

KUALA LUMPUR – “Sejak bila seorang proksi yang tidak dipilih rakyat mempunyai mandat yang lebih besar daripada seorang ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya?,” tanya lima ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persoalan itu dibuat oleh Wong Chen, Ahli Parlimen Subang; Lee Chean Chung, Ahli Parlimen Petaling Jaya; Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Ampang; Kesavan Subramaniam, Ahli Parlimen Sungai Siput dan Zahir Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Dakwa mereka, tindakan itu merupakan penyalahgunaan kuasa yang serius dan mendedahkan bagaimana Kerajaan Madani semakin mengaburkan sempadan antara parti dengan kerajaan, serta antara demokrasi dengan autokrasi.

Mereka mendakwa, Rodziah merupakan wakil rakyat kerajaan ketiga yang dinafikan hak untuk menguruskan peruntukan kawasan Parlimennya selepas  Chean Chung dan Wong Chen.

“Lebih serius lagi, apabila akses MyKHAS wakil rakyat yang dipilih disekat, tetapi pengurusan peruntukan kawasan diserahkan kepada individu atau “proxy” yang disenangi oleh Anwar Ibrahim,” dakwa mereka.

Kelima-lima mereka berkata, Malaysia bukan milik Anwar, bahkan kerajaan juga bukan rumah beliau dan peruntukan awam bukan wang poket parti mahupun perdana menteri.

Bahkan, peruntukan kawasan juga bukan hadiah daripada perdana menteri kepada ahli Parlimen.

“Kalau Anwar Ibrahim tidak menyukai seseorang ahli Parlimen, itu hak beliau. Namun, beliau tidak berhak menjadikan rakyat sebagai mangsa kepada ketidaksukaan politik tersebut.

“Lebih membimbangkan apabila wakil rakyat yang dipilih diketepikan, manakala wang rakyat pula diserahkan untuk diuruskan oleh proxy (proksi) politik mengikut citarasa beliau.

“”Dalam sebuah keluarga, mungkin seorang ketua keluarga boleh memarahi anak yang tidak disukainya lalu menghalau anak itu keluar dari rumah. Tetapi sebuah negara demokrasi tidak boleh ditadbir mengikut konsep “siapa saya suka, saya beri; siapa saya tidak suka, saya sekat.”

“Rakyat memilih Ahli Parlimen melalui peti undi, dan mandat itu wajib dihormati,” ujar mereka dalam kenyataan tersebut.

Hujah mereka, seseorang ahli Parlimen perlu disiasat jika melakukan kesalahan dan ambil tindakan sekiranya mereka melanggar undang-undang

Malah, seandainya seseorang ahli parti melanggar tatacara parti, bawa individu itu ke Lembaga Disiplin dan ambil tindakan mengikut peraturan parti, jangan sesekali menggunakan peruntukan rakyat sebagai senjata politik.

Sehubungan itu, mereka menuntut Anwar menjelaskan secara terbuka asas undang-undang, peraturan atau dasar yang digunakan untuk menyekat akses MyKHAS kepada tiga Ahli Parlimen berkenaan.

Mereka turut meminta penjelasan mengenai asas pelantikan Azman sebagai Penyelaras Parlimen Ampang, sedangkan Rodziah masih menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Selain itu, mereka mempersoalkan mengapa seorang Setiausaha Politik dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Ampang serta sama ada tugas berkenaan termasuk dalam skop tugas hakikinya dan beliau mempunyai kapasiti untuk memikul tanggungjawab tambahan itu.

Mereka mengingatkan Anwar bahawa perjuangan reformasi, keadilan, ketelusan dan penentangan terhadap penyalahgunaan kuasa yang pernah diperjuangkannya perlu terus diterapkan dalam pentadbiran kerajaan.

“Reformasi tidak bermaksud mempolitikkan peruntukan rakyat dan menggantikan wakil yang dipilih rakyat dengan proxy pilihan sendiri.

“Demokrasi juga bukan sekadar meminta rakyat keluar mengundi setiap lima tahun, kemudian mengetepikan pilihan mereka apabila wakil yang dipilih tidak lagi disenangi oleh pemerintah,” katanya.

Mereka menegaskan, tuntutan tersebut bukan untuk mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya bagi memastikan mandat rakyat dihormati.

“Kami hanya menuntut satu prinsip yang sangat mudah: Hormati mandat rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Anwar kata peruntukan kpd rakyat tidak perlu melalui ahli parlimen, tp pada masa yg sama dia luluskan peruntukan kpd AP Bandar Tun Razak iaitu bini dia dia…tak masuk akal langsung

  2. Anwar kata peruntukan kpd rakyat tidak perlu melalui ahli parlimen, tp pada masa yg sama, yg terbaharu dia luluskan peruntukan kpd AP Bandar Tun Razak iaitu bini dia dia…tak masuk akal langsung

Comments are closed.