KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan menerusi program Jelajah Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 yang berlangsung dari 13 Julai hingga 25 September.
Inisiatif berskala nasional itu melibatkan 40 buah sekolah di 14 buah negeri di seluruh negara.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program Jelajah AKAR 2026 merupakan inisiatif yang amat bertepatan dengan aspirasi negara dalam melahirkan generasi muda yang seimbang daripada aspek ilmu pengetahuan, kreativiti, sahsiah serta penghayatan nilai-nilai murni.
Tambahnya, inisiatif seperti itu diyakini dapat membantu membentuk generasi yang bukan sahaja kreatif dan berdaya saing, malah bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Program yang dianjurkan oleh Yayasan KRU dengan kerjasama PTPTN, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) selaras dengan aspirasi PTPTN untuk membudayakan amalan menabung melalui Simpan SSPN, di samping mencungkil bakat kreatif murid serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan pendidikan sejak usia muda.
Siri jelajah AKAR 2026 telah diadakan di Melaka, Negeri Sembilan,Putrajaya, Selangor, Pahang, Perlis dan Kedah, setakat ini.
Bagi negeri Pulau Pinang, program diteruskan melibatkan lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya, Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor, Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi dan Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor.

“Melalui Jelajah AKAR 2026 di Pulau Pinang, PTPTN telah menyalurkan sumbangan akaun Simpan SSPN berjumlah RM48,200 kepada 482 orang murid daripada lima buah sekolah yang terlibat.
“Setiap penerima menerima sebanyak RM100 sebagai galakan untuk memulakan amalan menabung dan membuat persediaan kewangan bagi pendidikan tinggi sejak usia muda.
“Selain itu, PTPTN turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Mewarna sempena Bulan Kebangsaan yang akan dikreditkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi setiap pemenang,” kata Norliza dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, siri Jelajah AKAR 2026 di Pulau Pinang yang berlangsung dari 6 hingga 8 Ogos 2026 telah dihadiri oleh Norliza; Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar; dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
PTPTN berharap pelaksanaan Jelajah AKAR 2026 akan terus menjadi platform strategik dalam mencungkil bakat dan kreativiti murid, memperkukuh literasi kewangan serta membudayakan amalan menabung sejak usia muda.
Inisiatif itu diharapkan dapat melahirkan generasi yang lebih bersedia daripada segi ilmu, kemahiran dan perancangan kewangan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing. -MalaysiaGazette















