KUALA LUMPUR – Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang berharap masyarakat orang asli terus diberikan ruang dan peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan, khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi, kemahiran serta pembangunan modal insan.
Dalam ucapan sempena Hari Orang Asli Sedunia 2026, baginda berdua turut menegaskan, usaha meningkatkan taraf kehidupan masyarakat orang asli perlu dilaksanakan tanpa mengetepikan identiti, adat dan warisan yang menjadi sebahagian daripada jati diri mereka.
Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan serta peranan masyarakat orang asli dalam memperkayakan khazanah budaya, adat resam dan warisan negeri Pahang.
Menurut kenyataan Kesultanan Pahang, komuniti itu merupakan sebahagian penting daripada masyarakat negeri itu yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Dalam pada itu, Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang menyeru seluruh masyarakat supaya terus memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan bekerjasama dalam memastikan keharmonian serta kesejahteraan negeri itu sentiasa terpelihara.
Baginda berdua turut mendoakan seluruh masyarakat orang asli di Pahang dan di seluruh negara sentiasa dikurniakan kesejahteraan, kemakmuran serta kehidupan yang lebih baik dan berharap mereka terus teguh memelihara warisan dan budaya yang menjadi khazanah bersama. – MalaysiaGazette















