KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming yakin lebih 4,000 perwakilan parti itu akan membuat pilihan paling bijaksana pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 Ahad ini, dengan mengambil kira kepentingan dan kestabilan negara.
Beliau berkata, DAP sebagai sebuah parti yang telah melalui perjuangan politik selama enam dekad mempunyai barisan perwakilan yang mampu membuat pertimbangan sewajarnya mengenai hala tuju parti.
“Saya yakin sebagai sebuah parti yang cintakan negara, sebuah parti yang telah berjuang selama 60 tahun, dengan kebijaksanaan lebih 4,000 perwakilan, mereka akan membuat pilihan paling bijaksana selaras dengan kepentingan dan kestabilan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 di KLGCC Convention Centre di sini, hari ini.
Kor Ming berkata demikian ketika ditanya mengenai Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini.
Persidangan berkenaan dijangka menghimpunkan 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan DAP di seluruh negara.
Antara perkara yang dijangka menjadi perhatian ialah usul berhubung kedudukan DAP dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Perwakilan dijangka membuat keputusan sama ada parti itu perlu terus kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal atau mengambil pendirian sebaliknya.
Persidangan berkenaan sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 12 Julai lalu sebelum ditangguhkan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ia kemudian ditetapkan semula pada 16 Ogos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Kor Ming bagaimanapun tidak mahu mendahului keputusan yang bakal dibuat pada persidangan berkenaan.
Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk menentukan pendirian parti dengan mengambil kira kepentingan lebih besar negara.
Menurutnya, kestabilan negara perlu menjadi antara pertimbangan dalam apa juga keputusan yang bakal dibuat oleh perwakilan. – MalaysiaGazette
















