KUALA LUMPUR – Perwakilan dari setiap negeri akan diberi peluang berbahas sebelum lebih 4,000 perwakilan DAP mengundi bagi menentukan sama ada parti itu kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, proses itu akan berlangsung pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 16 Ogos ini.
Menurutnya, ruang perbahasan akan dibuka terlebih dahulu bagi membolehkan pandangan daripada perwakilan seluruh negara didengar sebelum keputusan dibuat melalui pengundian.
“Kita berharap setiap negeri akan mempunyai wakil untuk berbahas supaya suara dari setiap penjuru dapat didengar.
“Kita akan memberikan ruang kepada perwakilan untuk berbahas,” katanya pada sidang media mengenai persidangan itu hari ini.
Poay Tiong berkata, proses pengundian selepas sesi perbahasan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam sebelum keputusan dapat diketahui.
Persidangan itu akan disertai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan DAP di seluruh negara.
Menurutnya, persidangan berkenaan bukan persidangan khas, sebaliknya persidangan biasa parti yang akan membincangkan beberapa perkara termasuk kedudukan DAP dalam Kerajaan Persekutuan.
Antara keputusan utama yang akan dibuat ialah sama ada DAP akan terus berada dalam kerajaan sehingga berakhirnya penggal Parlimen semasa.
Keputusan berkenaan akan diserahkan kepada perwakilan selepas mereka diberikan peluang menyuarakan pandangan masing-masing dalam sesi perbahasan.
Ia menjadikan persidangan kali ini antara medan penting untuk perwakilan menentukan pendirian parti berhubung kedudukannya dalam kerajaan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyatakan pendiriannya bahawa parti itu perlu kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal.
Bagaimanapun, beliau turut menegaskan akan menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan pada persidangan berkenaan.
Persidangan Kebangsaan DAP 2026 sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 12 Julai lalu sebelum ditangguhkan dan ditetapkan semula pada 16 Ogos ini. – MalaysiaGazette
















