KEMAMAN – Sebuah vesel nelayan asing dipercayai dari Vietnam ditahan selepas disyaki menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram, Khamis lalu.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, vesel itu ditahan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika rondaan rutin di kedudukan kira-kira 157 batu nautika timur laut Bukit Pejajat, Kemaman.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan membawa 17 kru, kesemuanya warga Vietnam.
Tambahnya, vesel terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen yang sah.
“Selain itu, kesemua kru turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Tambahnya, kesemua kru bersama vesel berkenaan kemudian dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kemaman sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Abdul Halim berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran.
Katanya, tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan kedaulatan serta kepentingan perairan Malaysia sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette















