Gambar: Facebook Chua Wei Kiat.

KUALA LUMPUR – Pekan lama Rawang yang berusia lebih 100 tahun bakal melalui proses rejuvenasi secara berperingkat dengan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi mewujudkan kawasan lebih selesa dan teratur, tanpa menjejaskan identiti serta nilai sejarahnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperuntukkan RM200,000 bagi kajian dan reka bentuk menyeluruh Pelan Rejuvenasi Pekan Lama Rawang, meningkat daripada RM100,000 sebelum ini.

Menurutnya, pelan berkenaan bukan bertujuan menghapuskan wajah lama Rawang, sebaliknya mengekalkan nilai sejarah kawasan itu sambil memberikan nafas baharu kepada pekan berkenaan.

“Bagi saya, kita bukan mahu menghilangkan wajah lama Rawang. Sebaliknya, kita mahu menjaga nilai sejarah yang ada sambil memberikan nafas baharu kepada pekan ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau berkata, pelan rejuvenasi itu antaranya merangkumi penambahbaikan trafik dan tempat letak kereta, sistem saliran, laluan pejalan kaki, pemeliharaan identiti bangunan lama, ruang awam serta kawasan hijau.

“Aspek trafik, keselamatan jalan raya dan saliran turut diberi perhatian menerusi Traffic Impact Assessment (TIA), Road Safety Audit (RSA) serta kajian sistem saliran.

“Usaha ini bukan sekadar mencantikkan kawasan, tetapi diharapkan dapat menyelesaikan beberapa masalah lama di Pekan Rawang,” katanya.

Wei Kiat berkata, MPS dijangka menyediakan kira-kira RM3 juta secara berperingkat bagi melaksanakan pelan berkenaan.

Katanya, pelan lengkap itu disasarkan siap tahun ini, manakala perubahan dan kerja-kerja rejuvenasi dijangka mula dilihat pada tahun depan.

Kerja-kerja itu dicadangkan mengetengahkan sejarah Rawang termasuk perkembangannya daripada era perlombongan bijih timah sehingga ke hari ini.

“Apa yang dibentangkan sekarang masih di peringkat awal. Harapan saya sederhana, semoga suatu hari nanti, kita dapat melihat sebuah pekan lama Rawang yang masih mempunyai identitinya, tetapi lebih selesa, lebih hidup dan menjadi kebanggaan kita bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast