Anggota JAINJ menangkap janda muda berkhalwat dengan duda di sebuah hotel di Kluang semalam.

KLUANG – Seorang janda muda yang sanggup datang dari Melaka menaiki bas ekspres ditangkap khalwat dengan duda di sebuah hotel di sini semalam.

Wanita berkenaan berusia 20-an yang mengambil lebih empat jam dari negeri berkenaan dikatakan tiba di sini pukul 6 petang sebelum terus menuju ke hotel bertemu lelaki 30-an itu.

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), lelaki terbabit yang juga duda anak empat dan bekerja di sini sudah terlebih dahulu mendaftar masuk ke hotel berkenaan dengan menaiki motosikal.

“Penguat kuasa menjalankan pemeriksaan pada pukul 6.40 petang dengan mengetuk pintu bilik sebelum lelaki terbabit membukanya kira-kira lima minit kemudian.

“Dia memakai baju-T dan seluar panjang sebelum pemeriksaan diteruskan di dalam bilik. Seorang wanita turut ditemukan sedang duduk di atas katil dan berpakaian lengkap,” menurut JAINJ dalam kenyataan.

Jelas JAINJ, kedua-duanya mengaku tidak mempunyai hubungan pernikahan dan memberi alasan hanya bertemu untuk berbual serta berbincang.

“Apabila ditanya tujuan wanita itu datang dari Melaka, dia memberitahu mahu bertemu lelaki terbabit untuk berbincang.

“Namun apabila ditanya apa yang dilakukan dalam bilik, kedua-duanya mendakwa hanya berbual dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang melibatkan sentuhan,” katanya.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan beg serta pakaian wanita berkenaan di dalam almari, dipercayai dibawa bersama selepas menempuh perjalanan jauh dari Melaka.

“Keadaan bilik ketika diperiksa juga agak kemas dengan katil masih tersusun, manakala penghawa dingin ditetapkan pada suhu 20 darjah Celsius dan televisyen sedang dipasang.

“Pasangan terbabit turut memaklumkan mereka mempunyai hasrat untuk berkahwin,” katanya.

Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast