KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati, Tabung Haji (TH) sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion susulan amalan perakaunan yang menyebabkan kerugian tidak direkodkan sewajarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zilkifli Hasan berkata, RCI mendapati, perubahan polisi rosot nilai dibuat dua kali dalam tahun sama termasuk perubahan ambang daripada 70 kepada 85 dan kemudian 90 peratus dalam tempoh sehari bagi meningkatkan keuntungan dilaporkan.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan kedudukan kewangan sebenar TH tidak dapat digambarkan dengan tepat dan turut membolehkan agihan keuntungan dibuat walaupun kedudukan aset TH ketika itu lebih rendah berbanding liabiliti.
Katanya, RCI turut mempersoalkan penggunaan kaedah realizable asset value (RAV) bagi menentukan nilai aset TH.
“Kaedah itu didapati menggunakan sebahagian anggaran pengurusan dan bukan sepenuhnya penilaian profesional atau harga pasaran.
“Malah RCI mendapati penggunaan RAV bagi pengiraan agihan keuntungan antara 2014 hingga 2017 tidak selaras dengan piawaian perakaunan yang diiktiraf serta kehendak Akta Tabung Haji,” katanya ketika menyampaikan penerangan pada mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan RCI TH di sini hari ini.
Dalam masa sama, tekanan untuk mengumumkan agihan keuntungan tinggi turut mendorong TH membuat pelaburan berisiko sehingga mengalami kerugian berbilion ringgit, kata Zulkifli.
Katanya, RCI mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah, antaranya Putrajaya Perdana, Al-Rawda, TH Indo Plantations (THIP), Trurich dan FGV.
Tambah beliau, antara yang ketara ialah pelaburan FGV yang akhirnya menyebabkan TH mengalami kerugian lebih RM1 bilion selepas harga saham merosot lebih 80 peratus.
Katanya, TH turut mengalami kerugian RM145.3 juta menerusi pelaburan dalam Putrajaya Perdana, manakala urus niaga tanah di TRX dengan 1MDB turut menimbulkan persoalan berhubung kewajaran pelaburan tersebut.
“RCI juga menyorot urus niaga pajakan empat hotel di Mekah dan Madinah dengan Al-Rawda yang menyaksikan TH membayar kira-kira RM1.55 bilion secara upfront.
“Al-Rawda kemudiannya gagal membayar hasil sewaan dan TH masih berusaha mendapatkan semula baki tuntutan,” tambahnya.
Keseluruhannya, RCI berpandangan amalan perakaunan dan keputusan pelaburan ketika itu telah menjejaskan kedudukan kewangan TH serta menyebabkan institusi berkenaan menanggung kerugian besar. – MalaysiaGazette















