SHAH ALAM – Perjuangan membela Melayu tidak seharusnya disempitkan kepada politik pecah perintah berasaskan kaum atau sekadar slogan penyatuan Melayu kerana pendekatan sedemikian hanya berisiko merencatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham menegaskan, perjuangan Melayu perlu bersifat kebangsaan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum selain berteraskan keadilan sosial dan usaha menjana kemakmuran bersama.
Belia berkata, kejayaan Selangor sebagai negeri dengan saiz ekonomi yang besar tidak mungkin dicapai sekiranya politik perkauman terus dijadikan asas pentadbiran dan pembangunan.
“Apakah Selangor boleh melakukan lonjakan saiz ekonomi ini dengan politik pecah perintah berasaskan kaum?
“Apakah kita boleh mengemudi dan menjadi arkitek kepada pertumbuhan ini semata-mata dengan memakai tengkolok dan slogan penyatuan Melayu?” soalnya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Hilman juga berkata, orang Melayu dan Selangor hanya mampu mencapai kejayaan sekiranya negeri itu terus berpegang kepada prinsip yang jelas, menjamin keadilan sosial serta menjana kemakmuran untuk semua kaum.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya masyarakat tidak terpengaruh dengan agenda yang disifatkannya sebagai ‘pembodohan’ yang menggunakan nama Melayu untuk menyemai perpecahan.
“Perjuangan Melayu mesti bersifat kebangsaan, perjuangan untuk seluruh rakyat Malaysia dan jangan kita biarkan agenda pembodohan yang melacurkan nama Melayu merencatkan ekonomi dan pembangunan negeri Selangor,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hilman turut menjelaskan pendiriannya untuk menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari termasuk rancangan pembangunan negeri yang dibentangkan kerajaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa kami memilih bersama negeri Selangor dan rakyat negeri Selangor yang kosmopolitan dan rencam sifat,” katanya.
Dalam masa sama, Hilman menegaskan, sokongan politik tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan sentimen kaum, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan kerajaan mengurus negeri dan memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat.
“Kedudukan Selangor sebagai negeri yang mempunyai kekayaan dan kelebihan strategik tidak menjamin kesejahteraan rakyat sekiranya aset serta hasil negeri gagal diurus secara cekap.
“Kekayaan tanpa pengurusan yang cekap tidak akan menghasilkan kemakmuran dan aset yang melimpah ruah tanpa tadbir urus yang bijaksana tidak akan mampu mengurniakan nikmat kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















