Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbangga dengan pendirian ahli parlimennya yang memilih untuk kekal berada dalam Dewan Rakyat bagi mengambil bahagian dalam perbahasan berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, pendirian itu jelas menunjukkan Bersatu tidak akan berundur apabila amanah membabitkan jutaan umat Islam dipersoalkan sebaliknya memilih untuk kekal dalam dewan, berbahas dan menuntut kebenaran.

“Inilah pendirian Bersatu apabila amanah jutaan umat Islam dipersoalkan, kita tidak lari. Kita kekal, kita berbahas dan kita tuntut kebenaran. Sebaliknya, saya kesal dengan tindakan ahli-ahli parlimen PN (Perikatan Nasional) yang memilih untuk walk out.

“Lebih mengecewakan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berada dalam Kabinet ketika keputusan penubuhan RCI ini dibuat manakala Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika itu merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang dan Parlimen.

“Jika dahulu bersetuju RCI diperlukan untuk mencari kebenaran, mengapa hari ini meninggalkan dewan ketika hasil siasatannya mahu dibahaskan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor berkata, pendirian Bersatu jelas bahawa sebarang ketirisan perlu didedahkan dan jika wujud salah guna kuasa perlu disiasat.

“Jika ada yang mengkhianati amanah pendeposit, ambil tindakan tanpa mengira parti dan kedudukan, TH bukan milik mana-mana parti. Ia adalah amanah umat Islam. Bersatu memilih untuk mempertahankan amanah Melayu-Islam.

“Mereka yang memilih untuk walk out pula perlu menjawab kepada umat mengapa mereka meninggalkan dewan ketika amanah umat sedang dipertahankan.

“Politik Melayu-Islam mesti bergerak ke hadapan bukan dengan slogan dan sentimen semata-mata tetapi dengan integriti, keberanian dan pertanggungjawaban,” jelasnya.

Terdahulu, beberapa wakil rakyat pembangkang memutuskan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan Laporan RCI Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat pagi ini.

Keputusan wakil rakyat pembangkang itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Pemakluman untuk tidak menyertai itu sidang khas itu dibuat Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN dan dipersetujui oleh Johari.

Terdahulu, Takiyuddin bangun membangkitkan peraturan mesyuarat 13 meminta supaya sidang khas berkenaan RCI TH pagi ini ditangguhkan, dengan alasan ia tidak dihadiri Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun Johari memutuskan ia tetap diteruskan seperti dijadualkan hari ini dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Zulkifli Hasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast