JOHOR BAHRU – Pihak berkuasa sedang berusaha mengenal pasti seorang warga Singapura yang menyewakan tapak sebuah premis kitar semula barang lusuh di Kampung Maju Jaya, Kempas di sini yang didakwa mengakibatkan pencemaran.
Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan selepas penyewa dan tiga pekerja warga Bangladesh ditahan berhubung dakwaan premis itu melakukan pembakaran terbuka dan berisiko menyebabkan paip gas bawah tanah berhampiran meletup.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Ramdin Taha berkata, empat suspek terbabit sudah ditahan reman bagi membantu siasatan dan premis tersebut juga sudah disita.
“Penyewa premis yang merupakan warga tempatan sudah ditahan reman selama empat hari bermula Isnin lalu manakala tiga pekerja warga Bangladesh direman 14 hari bermula kelmarin hingga 23 Ogos ini.
“Bagi suspek tempatan itu kita tahan bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 manakala semua warga Bangladesh tu kita tahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas meninjau lokasi premis berkenaan di tepi Jalan Kempas Lama-Seelong di sini hari ini yang beroperasi berdekatan saluran paip gas Petronas.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad serta Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad.
Mengulas lanjut, Radin Ramlan berkata, semua pekerja asing terbabit yang berusia 31 hingga 40 tahun tidak mempunyai sebarang permit kerja.
Ahad lalu portal ini melaporkan, kira-kira 10,000 penduduk dari empat kampung sekitar Kempas di sini mendakwa diancam pencemaran dan risiko letupan saluran paip gas bawah tanah berpunca daripada aktiviti pembakaran barangan lusuh dari sebuah premis berkenaan yang didakwa beroperasi secara haram.
Ketua Kampung Sri Aman, Rafizal Ahmad Razi dilaporkan berkata, saluran paip gas bawah tanah berkenaan terletak kira-kira 12 meter dari lokasi pembakaran barang lusuh tersebut sekali gus mendedahkan bahaya kepada penduduk setempat.
“Situasi ini jelas membimbangkan penduduk sekitar yang rata-ratanya enggan berlakunya kejadian letupan seperti kebakaran paip gas di Prima Heights, Puchong, Selangor tahun lalu.
“Aktiviti ini sudah berlarutan sejak lebih setahun dan semakin kerap berlaku dalam tempoh seminggu ini selepas ramai penduduk membuat aduan kerana ada kepulan asap tebal dari tapak ini bermula 7 malam,” katanya.- MalaysiaGazette
















