Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad

KUALA LUMPUR – Tindakan Perikatan Nasional (PN) keluar Dewan ketika Sidang Khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji disifatkan sebagai satu kerugian besar kepada pembangkang sendiri apabila melepaskan platform rasmi untuk mencabar setiap dapatan laporan berkenaan.

Timbalan Setiausaha Agung Keadilan yang juga Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Dewan Rakyat merupakan medan tertinggi untuk Ahli Parlimen menyoal, mengkritik dan mendesak penjelasan secara terbuka terhadap perkara yang mereka pertikaikan.

Lebih penting, menurut beliau, Ahli Parlimen mempunyai keistimewaan dan perlindungan tertentu ketika berbahas di Dewan, sekali gus memberikan ruang luas kepada pembangkang untuk mengemukakan persoalan keras berhubung RCI Tabung Haji.

“Dewan Rakyat adalah platform tertinggi negara yang dilindungi oleh imuniti Parlimen. Hal ini membolehkan Ahli Parlimen mengemukakan soalan tegar, meminta jawapan terperinci dan mengkritik dapatan RCI dengan imuniti.

“Namun, ketika peluang itu berada di depan mata, mereka memilih untuk keluar dewan,” tegasnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Saifuddin berkata, tindakan tersebut juga memperlihatkan percanggahan ketara antara pendirian yang ditunjukkan pemimpin PN di luar Parlimen dengan tindakan mereka apabila isu berkenaan benar-benar dibawa ke Dewan untuk dibahaskan.

“Bukan main sebelum ini pimpinan PN bersuara lantang di media sosial, sidang media malah pentas ceramah berhubung isu tata kelola serta akauntabiliti Tabung Haji.

“Rupanya berani di luar tetapi kecut perut di dalam dewan,” ujarnya.

Beliau berkata, tindakan meninggalkan persidangan ketika laporan RCI sedang dibahaskan juga boleh menimbulkan persepsi bahawa pembangkang tidak bersedia berdepan dengan fakta serta isu kritikal yang terkandung dalam laporan berkenaan.

Malah alasan bahawa perbahasan itu tidak mempunyai keperluan mendesak atau  hanya mengundang lebih banyak persoalan mengenai pendirian PN terhadap isu Tabung Haji.

“Di mata pemerhati politik dan pengundi atas pagar, tindakan keluar Dewan boleh ditafsir sebagai ketidakupayaan untuk menjawab isu-isu kritikal yang dibangkitkan dalam laporan RCI Tabung Haji.

“Apatah lagi apabila pembangkang mengatakan ia tiada urgency jelas menunjukkan isu kebimbangan orang Melayu dan Islam hanya menjadi mainan politik sahaja,” tegasnya lagi.

Saifuddin turut mempersoalkan bagaimana pemimpin pembangkang boleh berdegar-degar bercakap mengenai kepentingan rakyat, amanah pendeposit dan keperluan mendapatkan jawapan mengenai Tabung Haji di luar Parlimen, tetapi mengambil pendirian berbeza apabila ruang rasmi disediakan.

Menurut beliau, jika perjuangan itu benar-benar dibuat demi rakyat, peluang untuk membahaskan laporan RCI sepatutnya digunakan sepenuhnya tanpa mengira sama ada Perdana Menteri hadir atau sebaliknya.

Katanya, tugas ahli Parlimen bukan sekadar menyuarakan kritikan melalui media sosial, sidang media atau pentas politik sebaliknya membawa persoalan rakyat ke dalam Dewan dan menuntut jawapan melalui proses Parlimen.

“Di luar berdegar-degar bercakap soal kepentingan rakyat, kepentingan pendeposit dan mahu kerajaan bertanggungjawab.

“Apabila diberikan platform dan ruang dalam Dewan demi rakyat dan untuk rakyat, begini pula caranya. Pelbagai alasan diberikan untuk tidak mengambil peluang membahaskan perkara yang selama ini mereka sendiri bangkitkan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, sekiranya PN mempunyai pertikaian terhadap dapatan RCI, tidak berpuas hati dengan penjelasan kerajaan atau mempunyai fakta yang mahu diketengahkan, Sidang Khas itu merupakan medan paling tepat untuk berbuat demikian.

“Kalau tidak bersetuju, bahas. Kalau ada fakta lain, kemukakan. Kalau mahu kerajaan menjawab, tanyakan di dalam Dewan.

“Bukannya apabila ruang sudah diberikan, memilih untuk keluar dan kemudian terus bercakap mengenainya di luar,” tegasnya.

Saifuddin berkata, tindakan itu akhirnya hanya membuka ruang kepada rakyat untuk menilai sendiri sama ada isu Tabung Haji benar-benar menjadi keutamaan pembangkang atau sekadar digunakan apabila mempunyai keuntungan politik.

Menurut beliau, dalam isu yang melibatkan kepentingan jutaan pendeposit, rakyat berhak mengharapkan wakil mereka berada di dalam Dewan untuk menjalankan tanggungjawab, bukannya meninggalkan perbahasan ketika peluang mendapatkan penjelasan tersedia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anwar persoal mahu bahas isu dirinya atau laporan RCI Tabung Haji?

Keluar Dewan: Pembangkang tak peduli amanah pendeposit Tabung Haji?

Desak RCI tetapi ‘lari’ ketika diberi peluang bahas, Syahredzan bidas PN

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast