Mohd Radzi Md. Jidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi meneliti secara menyeluruh pengurusan dan tadbir urus institusi pengurusan dana awam.

Ia termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang membangkitkan perkara itu menegaskan, cadangan itu penting bagi memastikan isu seperti yang berlaku di Lembaga Tabung Haji (TH) tidak berulang dalam institusi pengurusan dana awam lain.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada isu TH dengan mewujudkan satu kerangka kawal selia yang lebih menyeluruh, bukannya hanya memberi tumpuan kepada satu institusi.

“Kerajaan perlu wujudkan sebuah agensi kawal selia prudensial khusus untuk mengawal selia institusi yang disebutkan tadi.

“Cadangan RCI supaya pengurusan dana Tabung Haji diselia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak mencukupi. Perlu pendekatan menyeluruh.

“Apa akan berlaku sekiranya selepas ini berlaku kerosakan kepada LTAT atau KWAP sebagai contoh? Nak buat satu lagi RCI?” katanya ketika membahaskan laporan RCI berkaitan TH di Dewan Rakyat, hari ini.

Radzi berkata, kerajaan boleh mengambil contoh model Australia yang mempunyai Australia Prudential Regulation Authority (APRA) sebagai badan kawal selia prudensial bagi institusi kewangan dan dana tertentu.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan prestasi pelaburan TH dalam Putrajaya Perdana selepas mendapati pelaburan berjumlah RM193.5 juta pada 2014 itu akhirnya mengalami rosot nilai sepenuhnya.

Menurut beliau, laporan RCI menyatakan pada Disember 2020, TH merekodkan peruntukan rosot nilai sebanyak RM145.3 juta dengan nilai bersih pelaburan ketika itu hanya RM48.2 juta.

Bagaimanapun, berdasarkan penyata kewangan TH 2024, pelaburan berkenaan telah dirosot nilai sepenuhnya.

“Maknanya, pelaburan RM193.5 juta pada tahun 2014, selepas 10 tahun nilainya kosong.

“Jadi, soalan saya, di sepanjang tempoh pelaburan Tabung Haji dalam Putrajaya Perdana, berapakah pulangan yang telah diterima oleh Tabung Haji?” soal beliau.

Radzi turut meminta kerajaan memperincikan jumlah pulangan yang diterima TH daripada 14 pelaburan bermasalah yang disenaraikan dalam laporan berkenaan.

Beliau berkata, penjelasan itu penting supaya tahap kerugian, pulangan dan keberkesanan keputusan pelaburan TH dapat dinilai dengan lebih jelas.

Selain itu, Radzi meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai komitmen sukuk Urus Harta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) kepada TH termasuk sama ada semua peruntukan bagi penebusan sukuk yang telah matang sudah disalurkan seperti perancangan asal.

“Adalah amat penting untuk kerajaan pastikan semua komitmen sukuk yang telah dipersetujui dilaksanakan.

“Ini bagi memastikan kita dapat menyelesaikan kelompongan dalam kewangan Tabung Haji ini sekali dan untuk selama-lamanya.

“Daripada situ, kita kukuhkan tadbir urus Tabung Haji dan Insyaallah Tabung Haji dapat bergerak ke hadapan dengan lebih kemas dan tersusun,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan sekiranya terdapat peruntukan penebusan Sukuk UJSB yang belum disalurkan, termasuk sebab ia tidak dilaksanakan serta komitmen kerajaan untuk memastikan peruntukan berkenaan disalurkan seperti yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast