Pemimpin bersama Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Bersama Malaysia, Puchong, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2026.

 

PUCHONG – Selepas 17 tahun bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen hari ini mengumumkan keputusan meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Wong Chen telah membuat permohonan untuk menyertai parti itu secara dalam talian dan keahliannya akan diproses mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Bagi pihak Bersama, kami mengalu-alukan penyertaan Wong Chen, bekas Ahli Parlimen Subang sebagai ahli Bersama berkuat kuasa hari ini.

“Beliau telah membuat permohonan menjadi ahli Bersama secara dalam talian dan akan diproses mengikut peraturan keahlian,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Bersama di sini, hari ini.

Sementara itu, Wong Chen berkata beliau telah menghantar notis keluar PKR semalam, sebelum mengambil keputusan untuk menyertai Bersama.

“Ini tidak mudah tetapi perkara yang sepatutnya saya lakukan,” katanya.

Pemimpin bersama Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menyerahkan baju Parti Bersama Malaysia kepada bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Bersama Malaysia, Puchong, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2026.

Menurutnya, keputusan itu bukan kerana beliau mahu menafikan tanggungjawab yang telah dilaksanakan sepanjang kira-kira 14 tahun sebagai Ahli Parlimen, sebaliknya didorong keinginan untuk meneruskan perjuangan mempertahankan demokrasi dan melakukan reformasi.

“Saya sudah menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dengan penuh tanggungjawab. Kini, saya perlu melaksanakan bahagian kedua iaitu mempertahankan demokrasi dan memperjuangkan reformasi.

“Saya melihat saluran untuk melakukan perkara itu adalah dengan menjadi anggota parti Bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Wong Chen turut memohon maaf kepada penduduk Subang kerana memilih untuk berundur sebelum Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan permohonan maaf itu bukan kerana tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat, sebaliknya kerana memilih untuk mengosongkan kerusi lebih awal.

“Saya bukan memohon maaf kerana meletakkan jawatan. Saya sedang menjelaskan apa yang mendorong saya membuat keputusan itu.

“Saya telah menjalankan tugas saya sebagai Ahli Parlimen yang tekun sepanjang 13 hingga 14 tahun yang lalu.

“Meletakkan jawatan setahun lebih awal adalah permohonan maaf saya kepada rakyat. Saya sebenarnya boleh menunggu sehingga Parlimen dibubarkan, tetapi saya memilih untuk berundur,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menunjukkan kelulusan borang permohonan menyertai Parti Bersama Malaysia pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Bersama Malaysia, Puchong, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2026.

Mengulas lanjut mengenai sebab beliau meninggalkan PKR, Wong Chen berkata, keputusan itu turut dipengaruhi penamatan khidmatnya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) yang didakwa dibuat secara mengejut tanpa penjelasan kukuh.

Beliau mendakwa, khidmatnya ditamatkan dengan notis lima hari selepas syarikat berkenaan mencatat keuntungan di bawah kepimpinannya.

“Selepas tahun pertama kita untung RM3 juta, kemudian berkembang kepada keuntungan RM7.5 juta dan lebih kurang mencapai sasaran. Selepas itu mereka tamatkan tugas saya sebagai pengerusi menerusi notis lima hari.

“Saya tidak buat apa-apa salah. Lazimnya untuk menamatkan khidmat memerlukan notis 30 hari. Ini luar biasa dan tiada penjelasan diberikan kepada saya.

“Sampai hari ini saya tidak menerima apa-apa panggilan atau penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi, sebagai pengamal undang-undang, sudah tentu saya merasakan tindakan tersebut bersifat peribadi,” katanya.

Pada Mei lalu, Wong Chen mendedahkan tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif MDV ditamatkan secara mengejut oleh Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast